Anda di sini

Lubang parit yang tidak ditutup bahayakan penduduk Batu Kawah

Advertisement

MOHON KERJASAMA: Augustine menunjukkan gambar parit yang telah ditutup setelah kerja penambahbaikan tamat oleh JKR, baru-baru ini.

KUCHING: Penduduk di sesetengah kawasan penempatan di Batu Kawah, di sini terdedah kepada kemungkinan bahaya daripada lubang parit yang tidak ditutup.

Ketua Public Action Augustine Chan berkata, sebilangan parit mempunyai penutup yang telah rosak dan hilang mengakibatkan lubang itu tidak lagi ditutup dan disifatkan berbahaya kepada penduduk sekitar terutama di kawasan Klinik Kesihatan Batu Kawah.

“Terdapat 11 lubang parit yang dikenal pasti tidak mempunyai penutup kerana penutup yang sebelum ini diperbuat daripada kayu telah rosak dan berlubang malah ada juga penutup besi yang sudah hilang berkemungkinan dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

“Saya amat mengambil berat akan perkara ini kerana ia berkait rapat dengan keselamatn penduduk di sekitar kawasan ini, lebih-lebih lagi kepada pengguna jalan raya mahupun pejalan kaki,” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.

Augustine kemudian membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan temu janji telah diatur bagi menyukat lubang parit untuk diperbaiki.

BUKTI: Beberapa longkang di sekitar kawasan Klinik Kesihatan Batu Kawah dilihat tidak mempunyai penutup.

Sementara itu, dia juga memberitahu, beberapa penutup parit di sekitar Pusat Komersial MJC juga mengalami masalah yang sama.

“Beberapa blok di Pusat Komersial MJC juga telah dikenal pasti mengalami masalah ketiadaan penutup longkang merangkumi Blok A hingga Blok D serta Blok Db-106.

“Namun yang demikian, saya juga telah mengambil gambar sebagai bukti untuk ditunjukkan kepada MPP agar tindakan wajar dapat diambil sebelum berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini ekoran parit yang tidak ditutup rapi,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Augustine turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri atas komitmen untuk membuat kerja penambahbaikan penutup lubang parit di Jalan Stapok hingga ke Batu Tiga.

Sebanyak 59 lubang parit telah diperbaiki oleh pihak JKR yang hanya mengambil masa selama 40 hari bagi menggantikan penutup parit yang lama dan yang telah rosak, ujarnya.

Advertisement