Anda di sini

Hanya 85 peratus tunai kewajipan bayar cukai

Advertisement

Oleh Henrietta Liza //

MPP berdepan masalah tidak semua pembayar cukai di kawasan tadbirannya tunai tanggungjawab itu

KUCHING: Hanya 85 peratus pembayar cukai taksiran telah menunaikan kewajipan mereka untuk membayar cukai kepada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) setiap tahun.

Pengerusinya Lo Khere Chiang bagaimanapun berharap agar baki pembayar cukai yang masih menduduki kawasan jagaan MPP itu akan turut melaksanakan kewajipan mereka bagi membayar cukai taksiran berkenaan sebelum penghujung tahun ini.

“Banyak perkara yang telah dibincangkan…namun yang paling penting adalah banyak projek perparitan, memperbaiki jalan dan projek baharu telah diimplimentasikan.

“Kami amat berterima kasih kepada orang ramai kerana mengingatkan kami semula akan projek atau kerja-kerja pembersihan dan membaiki kemudahan yang masih belum dijalankan.

“Ia bagus kerana mereka (penduduk) mempunyai kesedaran sivik tetapi yang menjadi masalah adalah cukai taksiran yang kami kumpul setiap tahun amat rendah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPP Ke-6 bagi tahun 2014 di pejabatnya di sini semalam.

Katanya jika dibuat perbandingan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini dengan PBT di negeri lain dan negara-negara yang sudah membangun hari ini, kadar cukai yang dikenakan MPP amat rendah.

Sedangkan pada masa yang sama pihaknya perlu memperbaiki lampu jalan, menjalankan kerja pembetungan, memberi gaji pekerja untuk membaiki jalan utama.

Lo turut menegaskan bahawa kerajaan negeri enggan membebankan rakyat dengan kadar cukai yang tinggi seperti negara-negara membangun yang lain.

“Seperti di Australia cukai taksiran yang dikenakan kerajaannya sentiasa meningkat setiap tahun.

“Kita tahu di kawasan luar bandar, tidak ramai yang berkemampuan sebagaimana mereka di kawasan bandar dan sekiranya kami menaikkan cukai setiap 10 tahun mereka akan berasa sukar untuk membayarnya pula,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan terdapat kenaikan bagi cukai taksiran namun masih di tahap rendah dan terkawal.

Jelasnya ia berikutan harga barang, gaji, material dan perkhidmatan kini sudah meningkat dan kawasan tanah yang digunakan akan dikenakan cukai taksiran berkenaan.

Menurut Lo, jumlah cukai taksiran yang dikutip oleh pihak MPP setiap tahun adalah 85 peratus dan kali terakhir kadar cukai taksiran dinaikkan kepada 1 peratus adalah pada 2009.

“Jumlah cukai taksiran yang kami telah kutip sejak 1980 sehingga 31 Mei tahun ini adalah sebanyak RM12 juta.

“Rakyat tidak mempercayainya, 15 peratus bersamaan dengan RM3 juta sahaja setahun cukai taksiran yang telah kami kutip.

“Walaupun sebelum ini kami telah memberi 50 peratus diskaun kepada pembayar cukai taksiran tetapi ia cuma melihat kepada pertambahan RM2 juta pada 2013 berbanding RM1.4 juta sahaja pada 2011,” tambahnya.

Beliau turut memperjelaskan jawatan Ahli Majlis MPP telah di bahagiakan kepada 32 pecahan tugas dan berharap agar mereka mendekati rakyat dan begitu juga sebaliknya.

Memang betul tidak semua yang dipohon daripada ahli majlis akan ditunaikan tetapi pihak MPP secara keseluruhannya akan cuba memperbaiki perkhidmatan sedia ada, kata Lo lagi.

Advertisement