Anda di sini

Empat nelayan hilang akhirnya tersenyum riang

Advertisement

Oleh Ambrose Rirang //

Nelayan dari Sibu dikhuatiri hilang sejak Khamis lalu ditemui APMM Daerah Maritim 12 Bintulu Ahad lalu

SELAMAT: Bongs (kiri) bersama tiga lagi rakannya yang berjaya ditemui dan diselamatkan APMM Daerah Maritim 12 Bintulu pada petang Ahad lalu.

BINTULU: Empat nelayan dari Sibu yang dikhuatiri hilang sejak Khamis lalu telah ditemui dalam keadaan selamat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 12 Bintulu pada petang Ahad lalu.

Menurut Ketua Penguatkuasaan Maritim Daerah Bintulu Komander Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, pegawainya yang ketika itu sedang melakukan rondaan di sekitar perairan Bintulu telah mengesan objek terapung kira-kira enam batu nautika dari Pelantar Minyak Bayan dan hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat nelayan itu merupakan nelayan tempatan dari Sibu.

Mereka ialah Bongs Nain, 48, selaku tekong bot, Abdul Albar Abdul Kamal, 28, Muksin Bimbi, 35, dan Julmaru Arabi, 34.

Difahamkan bot yang dinaiki mereka telah mengalami kerosakan pada bahagian kemudi pada Khamis lalu hingga menyebabkan bot mereka dihanyutkan arus hingga ke 45 batu nautika dari Pantai Tanjung Kidurong.

“Ketika ditemui kesemua nelayan terbabit berada dalam keadaan sihat dan selamat meskipun tiga hari dihanyutkan air, cuma keadaan mereka agak lemah dan sedikit gusar kerana enjin bot yang digunakan rosak,” ujarnya.

Muhammad berkata APMM Daerah Maritim 12 Bintulu dimaklumkan oleh Maritime Rescue Sub-Coordinator (MRSC) mengenai sebuah bot nelayan mengalami kerosakan enjin dan sejurus selepas itu dengan segera mengarahkan kapal KM Tabah yang ketika itu sedang melakukan rondaan memberi bantuan kepada bot nelayan terbabit.

Jelasnya, memandangkan bot nelayan yang bernombor pendaftaran SF3-375 itu mengalami kerosakan enjin, pihak APMM terpaksa menunda bot berkenaan ke pangkalan Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) bagi tujuan memperbaiki enjin bot berkenaan sebelum mereka balik semula ke Sibu.

“Saya dalam pada itu ingin menasihati semua nelayan di negeri ini agar  memastikan bot yang digunakan bagi tujuan menangkap hasil laut diperiksa dengan teliti bagi memastikan ia selamat untuk digunakan dan tidak mengalami sebarang kerosakan,” jelasnya.

Beliau pada masa sama menasihati para nelayan agar segera menghubungi talian mesra MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Daerah Bintulu di talian  086-314024 sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan atau jenayah yang berlaku di sekitar perairan Bintulu.

Bongs berkata kejadian kerosakan bot itu merupakan yang pertama dialami  mereka sejak menjadi nelayan kira-kira 20 tahun lalu.

“Saya bersama tiga lagi rakan yang lain bersyukur kepada Tuhan kerana kejadian ini tidak mendatangkan musibah kepada kami semua dan apa yang paling penting pada masa sekarang ialah balik semula ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat dan sihat,” jelasnya.

Advertisement