Anda di sini

Dr Henry Chan ‘gila’ tinggalkan kemewahan demi antropologi

Advertisement

KETUA Pemuliharaan bagi Sarawak, Persekutuan Hidupan Liar Dunia (WWF) – Malaysia, Dr Henry Chan boleh memilih laluan kerjaya lain yang menawarkan kehidupan mewah dan senang, seperti adik-beradik peguamnya yang lain.

Namun, beliau memilih untuk menjadi ahli antropologi, kerjaya yang memerlukannya menghabiskan banyak masa di dalam hutan, demi mengetahui lebih lanjut mengenai puak-puak primitif seperti Punan serta gaya hidup mereka.

Bagaimanapun, pengorbanannya berbaloi apabila karya serta pengetahuannya mengenai Punan dan suku kaum Bumiputera di Sarawak melonjakkan karyanya kepada seorang ahli antropologi terkemuka.

Kepakaran Dr Chan itu menarik perhatian banyak organisasi antarabangsa.

Pada 1998, beliau dijemput untuk menjadi penasihat kepada kerajaan Jerman untuk memperkenalkan pengurusan hutan yang baik untuk memberi manfaat lebih baik kepada salah satu lagi suku kaum di Sarawak, Penan.

Manakala pada 2001, Dr Chan menerima anugerah antarabangsa untuk menjalankan penyelidikan di pergunungan Thailand dan Sungai Mahakam di Indonesia-Borneo berhubung konflik perhutanan antara komuniti setempat dan kerajaan.

Dari tempoh 2009 hingga 2012, beliau telah mengetuai pasukan penyelidik antarabangsa untuk mengendalikan projek komuniti berasaskan baki ekologi manusia di Asia yang membawa mereka ke Indonesia, Jepun, Malaysia, Filipina dan Thailand.

Perjalanannya dalam kajian sosial di Sarawak bermula pada tahun 1984.

Terdorong selepas mengetahui nasib penduduk yang tinggal di hulu Sungai Rajang, beliau berhasrat menjadi ahli antropologi kerana ingin memahami orang dari semua sudut selain membantu memberikan penyelesaian.

Selepas itu, beliau membuat penyelidikan orang Kayan untuk Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dari Universiti Malaya dan kemudian, satu lagi penyelidikan mengenai pemburu-pengumpul Punan yang melayakkannya menerima Doktor Falsafah (PhD) dari Univerisiti Helsinki di Finland.

Ketika mempelajari mengenai komuniti Punan, Dr Chan tinggal bersama kaum peribumi itu dalam hutan selama dua tahun dan menjalani kehidupan mereka dari memburu hinggalah ke memproses sagu, malah bertutur dalam bahasa mereka sehingga ketua kampung menganggapnya sebagai anaknya sendiri.

Sementara bapa kandungnya membantah pilihannya dalam kerjaya itu dengan asas kesukaran terpaksa ditempuhi, bapa angkatnya menganggapnya ‘gila’ kerana memilih kehidupan asas dalam hutan daripada kehidupan selesa di bandar.

Kaedah menggabungkan teori-teori antropologi dan pemerhatian berdasarkan pengalaman, yang dipanggil kerja lapangan, memberinya pemahaman lebih mendalam terhadap orang dan budaya mereka.

“Kesemua itu menjadi begitu jelas sekarang. Semua perkara membosankan yang terpaksa dibaca dan dikaji kelihatan mustahil untuk difahami, ayat-ayat dan definisi-definisi perlu dihafal, seolah-olah hidup,” kata Dr Chan.

Sepanjang tempoh 25 tahun Dr Chan menjalankan kajian sosial, beliau menyaksikan bagaimana perubahan persekitaran hutan meninggalkan kesan ke atas kehidupan penduduk peribumi.

Ketika beliau menjadi penasihat kepada kerajaan Jerman untuk memperkenalkan pengurusan hutan yang baik, beliau menyangka pengalamannya ketika itu dapat membantu menyelesaikan masalah pembalakan namun beliau seolah-olah tersepit.

Beliau terpaksa berurusan dengan dua ekstrimis, mereka yang menyokong dan menentang pembalakan.

“Bagi syarikat pembalakan, pengurusan hutan yang lestari atau SFM terlalu susah untuk dilaksanakan.

“Bagi agensi yang bertanggungjawab melaksanakan SFM, isu-isu itu terlalu rumit untuk dikendalikan sementara agensi-agensi lain tidak mempunyai bidang kuasa untuk menangani masalah di luar kuasa mereka,” ujarnya.

Namun, segala kerumitan itu menghasilkan satu perkara yang baik; Dr Chan memperolehi pengetahuan baharu dalam pengurusan resolusi konflik.

“Saya mula memahami konflik ini mempunyai banyak lapisan. Ada yang boleh diselesaikan, ada yang langsung tidak mempunyai penyelesaian,” katanya.

Sebagai kakitangan WWF, beliau melihat usaha pemuliharaan dan pendekatan pembangunan mapan yang diambil pertubuhan itu adalah asas untuk menangani dan menyelesaikan konflik-konflik.

Beliau berkata, menerusi kit ‘High Conservation Value Forest Assessment’ WWF, pengenalpastian masalah dan pengurusan sumber-sumber boleh dilaksanakan kepada golongan orang yang memerlukan.

Syarikat-syarikat pembalakan juga bersetuju ke atas kit itu namun, memerlukan bantuan dari Sarawak Forestry Department (SFC) dan WWF.

Ketika berkhidmat dengan SFC, beliau menyaksikan manfaat-manfaat dari kit tersebut.

Dr Chan dahulu ketua pasukan yang mengetuai rundingan komuniti dengan beberapa masyarakat Penan.

“Kit HCVF menyediakan soalan sewajarnya ditanya. Dengan soalan yang betul, kita akan mendapat jawapan yang betul,” katanya.

Beliau menambah: “Meskipun beberapa persoalan sukar ditanya kerana halangan dari segi bahasa, namun Penan mempunyai niat untuk belajar kerana mereka ikhlas.”

Kepercayaan, katanya, dibina dari awal lagi. Justeru, konflik-konflik dapat dielakkan kerana langkah-langkah yang betul diambil dari awal lagi.

Penglibatan dan rundingan dengan orang dari dalam atau luar WWF adalah penting bagi memastikan kejayaan misi WWF, kata Dr Chan.

Advertisement