Anda di sini

Bazar Ramadan tarik pengunjung pelbagai kaum

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

Tinjauan di beberapa bazar Ramadan di Kuching mendapati ia dikunjungi kaum Iban, Bidayuh dan Cina

MERIAH: Pengunjung pelbagai kaum tidak melepaskan peluang berkunjung ke bazar Ramadan dengan pelbagai juadah.

KUCHING: Kepelbagaian juadah di bazar Ramadan sekitar bandar raya ini bukan sahaja menjadikannya tumpuan umat Islam tetapi turut menarik kehadiran pengunjung pelbagai kaum untuk membeli juadah kegemaran mereka.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati empat lokasi utama bazar Ramadan di sini iaitu Bazar Ramadan Stutong, Sukma Ria, Bina Mara dan Semarak bukan sahaja dikunjungi oleh orang Islam untuk membeli juadah berbuka tetapi masyarakat berbilang kaum seperti Iban, Bidayuh dan Cina.

Ini kerana kepelbagaian juadah yang menarik dan sedap seperti kuih-muih tradisional dan moden, lauk-pauk serta minuman seperti nasi ayam, nasi kerabu, laksa sarawak, laksa penang, mi jawa, murtabak, ayam panggang, ikan bakar, ayam percik, rojak, kurma, air batu campur (ABC), air tebu dan banyak lagi pastinya mampu membuka selera sesiapa sahaja yang memandangnya.

Seorang pengunjung berbangsa Iban, Anna Santang, 19, berkata, dia dan rakan-rakan serta keluarga gemar berkunjung ke bazar Ramadan kerana ia bagaikan pesta makanan yang diadakan sekali setiap tahun.

“Pastinya saya dan rakanrakan tidak akan melepaskan peluang untuk datang ke bazar Ramadan kerana pelbagai juadah kegemaran kami pastinya ada dijual.

“Bukan itu sahaja, saya sangat suka kepelbagaian juadah yang tidak pernah dirasa, juga boleh didapati dan diperolehi di situ,” katanya yang meminati nasi kerabu.

Dia turut menambah, bazar Ramadan merupakan landasan terbaik bagi kaum lain mengenali keistimewaan makanan kaum Melayu.

Bagi Dave Chong, 26, bazar Ramadan menjanjikan banyak pilihan makanan dan setiap bazar mempunyai keistimewaan masing-masing.

“Dengan berkunjung ke bazar yang berlainan yang ada, dapat dilihat masing-masing mempunyai cara masakan serta juadah yang berbeza. Inilah yang saya mahukan, kelainan yang ada dalam setiap hidangan yang dijual.

“Justeru, sekiranya mempunyai masa lapang pastinya saya akan cuba untuk berkunjung ke bazar berlainan setiap kali,” jelasnya.

Albert turut memuji penganjuran bazar Ramadan di setiap tempat dalam negeri dan negara ini kerana ia merupakan salah satu langkah untuk mengeratkan perpaduan berbilang kaum selaras dengan slogan 1Malaysia.

“Bazar Ramadan boleh dijadikan medium bagi mengeratkan lagi perpaduan kaum yang ada di negeri ini.

“Ini kerana masyarakat berbilang kaum yang ada di sini dapat bertemu dalam satu tempat dan sudah tentu masingmasing dapat bertanya khabar dan lebih mengenali antara satu sama lain.

“Selain itu, pelanggan dengan pembeli juga dapat berkenalan dan tidak mustahil pada masa akan datang boleh berhubung lagi untuk mendapatkan juadah yang dijual itu walaupun bukan lagi pada bulan Ramadan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Morshidi Alik, 54, menasihati para peniaga supaya sentiasa menjaga kebersihan makanan yang dijual.

“Sekiranya makanan yang dijual berkualiti dan bersih, pastinya mereka (peniaga) sendiri yang mendapat keuntungan.

“Manakala bagi pembeli pula pastikan tidak berbelanja mengikut nafsu sehingga berlaku pembaziran,” nasihatnya.

Advertisement