Anda di sini

Bazar Ramadan peluang peniaga kecil tingkat pendapatan

Advertisement

MIRI: Bazar Ramadan merupakan antara peluang kepada peniaga kecil-kecilan untuk meningkatkan sumber pendapatan sepanjang bulan puasa dan sebelum perayaan.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, peluang itu diberikan kepada peniaga dan penjaja yang benar-benar serius mahu berkecimpung dalam dunia perniagaan.

“Walaupun mereka bermula daripada perniagaan kecil-kecilan dan sederhana, namun dengan adanya komitmen dan semangat dedikasi saya yakin mereka mampu berkembang dan maju,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Pembiayaan Mikro-I Bazar Ramadan untuk peniaga bazar Ramadan Miri di sini kelmarin.

Ahmad Lai mewakili Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan dan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais.

Beliau berkata di bawah skim ini, kerajaan memperuntukkan RM45 juta berbentuk pinjaman modal kerja jangka pendek kepada penjaja dan peniaga kecil Bumiputera di seluruh negara untuk berniaga pada bulan Ramadan.

“Sehingga 26 Jun ini, sebanyak 1,005 permohonan dari seluruh Sarawak telah diluluskan dengan jumlah keseluruhan RM2,187,500. Penerima akan diberi pinjaman sehingga RM3,000 sebagai modal perniagaan,” katanya.

Beliau berkata pinjaman itu dibuat melalui kerjasama kerajaan negeri melalui Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Ini merupakan salah satu cara kerjasama erat di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam memajukan golongan peniaga kecil dan penjaja Bumiputera di Sarawak.

“Saya berharap golongan yang terlibat dapat merebut peluang, mengambil manfaat dan mendapat faedah melalui skim ini,” katanya.

Sementara itu, peserta menerima pinjaman antara RM500 hingga RM1,000 (kuih-muih) dan RM1,000 dan RM2,000 (makanan bermasak dan lauk-pauk).

Advertisement