Anda di sini

UMNO Kuala Kedah bantu pasangan suami isteri miskin peroleh rumah baharu

Advertisement

ALOR SETAR: Ramadan kali ini membawa berita menggembirakan buat sepasang suami isteri dari Kampung Teluk Bagan, Tandop di sini apabila bakal menerima sebuah rumah baharu yang lebih selesa.

Abdul Manaf Abdullah, 56, dan isteri Rojiah Salleh, 52, serta enam anaknya berusia antara 32 hingga 11 tahun kini tinggal di rumah pusaka milik keluarganya yang uzur sejak 32 tahun lepas.

Abdul Manaf berkata pendapatan dengan bekerja kampung sekitar RM20 sehari tidak mampu untuk membina atau memperbaiki rumahnya yang uzur dan hanya mengharapkan bantuan daripada orang ramai.

“Memang tak selesa kami sekeluarga tinggal dalam rumah ni. Kalau hujan lebat dan angin kencang kami rasa tak selamat takut rumah bumbung dan dinding runtuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Katanya mereka sekeluarga bersyukur dengan kehadiran pihak UMNO Bahagian Kuala Kedah yang akan berusaha mendapatkan rumah baharu sekali gus membuka sinar baru kepadanya untuk menjalani kehidupan lebih selesa tidak lama lagi.

Abdul Manaf berkata dua anak perempuannya berusia 13 dan 11 tahun adalah orang kelainan upaya (OKU) yang menghadapi masalah dalam pembelajaran.

Dia berkata empat anaknya yang lain normal dan telah bekerja dan hanya cukup untuk menyara kehidupan mereka sendiri.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah yang turun padang melawat keluarga Abdul Manaf berkata pihaknya akan membantu mendapatkan sebuah rumah daripada agensi bertanggungjawab.

Katanya pihaknya juga akan mendapatkan dana khas daripada pejabat Menteri Besar Kedah bagi membantu keluarga ini yang hidup serba kekurangan. — Bernama

Advertisement