Anda di sini

Tuntutan i-BR1M dibuat melalui pejabat LHDNM

Advertisement

Borang di pejabat pengendali Takaful dan di laman web

KUALA LUMPUR: Tuntutan Insurans Takaful Berkelompok Insurans 1Malaysia, atau i-BR1M, boleh dibuat melalui pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri yang berhampiran.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata tuntutan itu boleh dibuat melalui borang khas yang disediakan di pejabat pengendali Takaful atau dimuat turun di www.malaysiatakaful.com.my atau http://www.hasil.gov.my.

Ahmad mendedahkan perkara ini menerusi Twitter beliau semalam. Dalam catatan itu, beliau turut menyertakan pautan info grafik berhubung tuntutan i-BR1M yang telah pun dibayar kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

Kerajaan pada pembentangan Bajet 2014, memperkenal i-BRIM dengan tuntutan boleh dibuat sehingga RM30,000 bagi kematian disebabkan kemalangan dan kemalangan mengakibatkan hilang upaya kekal serta menyeluruh, dan RM1,000 untuk kematian biasa.

Tempoh perlindungan bermula 1 Jan hingga 31 Dis tahun ini.

i-BR1M adalah pelan insurans takaful yang memberi manfaat perlindungan kepada penerima BR1M kategori isi rumah.

Penerimaan i-BR1M membantu meringankan tanggungan penerima dan keluarga penerima sekiranya berlaku kematian atau kecacatan kekal akibat kemalangan.

Bagaimanapun, penerima BR1M kategori bujang dan warga emas sebatang kara adalah tidak layak menuntut i-BR1M.

Pada Jumaat lepas, Ahmad berkata i-BR1M membayar RM20.37 juta bagi tuntutan membabitkan 6,483 kes dari 1 Jan hingga 25 Jun tahun ini.

Kematian akibat kemalangan yang membabitkan 476 kes menerima tuntutan sebanyak RM14.28 juta manakala bagi kematian biasa, i-BR1M membayar RM6 juta membabitkan 6,004 kes.

Kecacatan kekal disebabkan kemalangan pula membabitkan tuntutan sebanyak RM90,000, katanya.

Antara dokumen yang diperlukan untuk membuat tuntutan ialah sijil kematian dan laporan polis. — Bernama

Advertisement