Anda di sini

Ramadan sepatutnya jadikan kita lebih produktif

Advertisement

Oleh Mastura Ismail //

Jangan jadikan Ramadan sebagai alasan untuk tidak kerja amanah, tanggungjawab: Awang Tengah

MENYELERAKAN: Zulkifli (kiri), Maria, Awang Tengah dan Hussaini menggaul bubur lemak tahai sebelum diagihkan kepada orang ramai di Bazar Ramadan Lawas kelmarin.

LAWAS: Umat Islam tidak harus menjadikan bulan Ramadan sebagai alasan untuk tidak menunaikan amanah dan tanggungjawab seperti yang dituntut dalam agama Islam.

Sebaliknya, bulan mulia ini perlu dijadikan sebagai peluang untuk mereka melipatgandakan usaha untuk merebut rezeki dalam perniagaan dan pekerjaan seharian.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata tangggungjawab sebagai seorang Muslim perlu terus dipikul sebaiknya sekali gus meningkatkan taraf kehidupan.

“Sebagai umat Islam, kita perlu menunaikan tanggungjawab seharian dan memanfaatkan peluang untuk terlibat dalam perniagaan di bazar Ramadan secara serius,” katanya ketika merasmi Bazar Ramadan dan Pengagihan Bubur Lemak Tahai di bandar Lawas di sini petang kelmarin.

Turut hadir Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim, Setiausaha Majlis Daerah Lawas Zulkifli Sahari dan Temenggung Kading Silo.

Awang Tengah berkata penganjuran bazar Ramadan saban tahun perlu dimanfaatkan untuk mencari rezeki selain memperbesar usaha dalam bidang perniagaan.

Beliau juga mahu para peniaga menitikberatkan aspek kebersihan makanan dan gerai perniagaan masing-masing.

“Kita perlu memastikan kebersihan kawasan dijaga dan mutu makanan dan juadah turut dipertingkatkan daripada aspek penyediaan.

“Ini penting bagi meningkatkan keyakinan pelanggan yang bukan sahaja terdiri daripada orang Islam malah pengunjung bukan Islam yang datang memeriahkan bazar Ramadan,” katanya.

Seramai 158 peniaga menyertai Bazar Ramadan Lawas yang terletak bersebelahan bangunan Baitulmal Lawas.

Jumlah tersebut menunjukkan sedikit peningkatan berbanding penyertaan tahun- tahun lalu.

Bazar Ramadan Lawas turut menonjolkan menu bubur lemak tahai yang merupakan resipi tradisional masyarakat di sini.

Bubur lemak tahai satu ikon baharu di Bazar Ramadan Lawas sejak tiga tahun lalu bagi mengangkat makanan tradisi ikan tahai di sini.

Pengagihan bubur lemak tahai dikendalikan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Lawas.

Advertisement