Anda di sini

Perancis berdepan tugas getir menghadapi Nigeria

Advertisement

RIO DE JANEIRO, Brazil: Selepas mempamerkan permainan bola sepak yang cantik pada peringkat kumpulan, Perancis pasti mahu mengesahkan tauliah mereka pada Piala Dunia dalam perlawanan peringkat 16 terakhir menentang Nigeria pada jam 12.00 tengah malam ini (awal pagi Selasa waktu Malaysia).

Pada kejohanan Piala Dunia lalu, Perancis sentiasa mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir selepas melayakkan diri dari peringkat kumpulan tetapi tindakan berhati-hati telah menjadi amalan harian dalam kem Perancis pada minggu ini.

Sementara pasukan Didier Deschamps menerima pujian apabila mereka menewaskan Honduras 3-0 dan membelasah Switzerland 5-2, pasukan yang banyak berubah hanya mampu seri 0-0 dalam perlawanan terakhir mereka menentang Ecuador dalam Kumpulan E pada awal pagi Khamis lepas.

Bacary Sagna dan Morgan Schneiderlin membayangkan Perancis adalah juara yang berpotensi ekoran keputusan seri tanpa jaringan itu di Stadium Maracana tetapi pemain pertahanan tengah Laurent Koscielny sejak itu telah menyuarakan amaran untuk berhati-hati ketika Les Bleus bersiap sedia untuk perlawanan pada tengah malam nanti di Brasilia.

Ia hanya tujuh bulan sahaja sejak Perancis perlu mengatasi defisit 2-0 untuk menewaskan Ukraine dalam perlawanan play-off kelayakan mereka dan pemain pertahanan Arsenal itu berkata ia adalah sesuatu yang tidak bijak untuk melihat terlalu jauh ke hadapan.

“Matlamat pertama adalah untuk melepasi peringkat kumpulan. Sekarang ia adalah untuk pergi sejauh mungkin,” katanya.

“Kami adalah pesaing dan kami bercita-cita tinggi tetapi kami tahu kami ada pasukan yang menentang kami dan kami mungkin akan tewas.

“Kami sedar mengenai kualiti kami. Sesuatu berubah selepas perlawanan menentang Ukraine tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan kalah mati dan buat masa sekarang, kami hanya fokus kepada peringkat 16 terakhir.” — AFP

Advertisement