Anda di sini

Pejabat ahli politik diceroboh, wang RM5,000, tiga komputer riba lesap

Advertisement

BERTABURAN: Fong menunjukkan keadaan di dalam bilik pejabatnya yang bersepah.

MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Fong Pau Teck semalam turut menjadi mangsa rompakan, apabila pejabatnya dipecah masuk pencuri yang turut melarikan beberapa barang berharga milik beliau.

Kejadian tersebut disedari sendiri oleh Fong, semasa beliau tiba di pejabatnya yang terletak di Jalan Bulan Sabit, di sini pada jam 3.30 petang semalam.

Fong memberitahu, sebaik tiba di pejabatnya beliau terkejut mendapati pintu utama pejabat telah dipecahkan dan keadaan di dalam pejabatnya berselerak.

Selepas melakukan pemeriksaan, Fong mendapati wang tunai berjumlah RM5,000 yang disimpan di dalam laci mejanya hilang bersama tiga unit komputer riba.

Dalam pada itu, rakaman dalam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasangnya menunjukkan seorang lelaki tidak dikenali memakai topi dan kain menutup muka berjalan menuju ke pejabatnya pada jam 1.16 petang semalam.

Rakaman itu juga menunjukkan suspek berlegar-legar di sekitar pejabat beliau selama beberapa minit dan kemudian merosakkan beberapa CCTV yang dipasang di dalam pejabat tersebut, sebelum penjenayah tersebut mencuri barangan terbabit dari bilik Fong.

Fong kemudiannya menghubungi pihak polis untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut dan laporan polis telah dibuat oleh Fong di Balai Polis Pusat Miri di sini semalam..

Advertisement