Anda di sini

Pastikan ada logo halal sebelum berbuka puasa di hotel, kata Daud

Advertisement

KUCHING: Masyarakat beragama Islam dinasihati memastikan terdapatnya logo sijil halal sebelum berhasrat untuk berbuka puasa di mana-mana hotel yang menyediakan hidangan bufet di seluruh negeri.

Demikian kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman sambil menambah, pusat makanan yang menyediakan hidangan bufet boleh memohon sijil berkenaan sekarang.

“Kalau mereka membuat bufet biasa ia tidak menjadi masalah tetapi berbuka puasa atau bufet Ramadan dan sebagainya ia ada implikasi untuk orang Islam.

“Ia bukan suatu perkara yang susah, cuma perlu mematuhi beberapa syarat yang dikehendaki oleh JAIS.

“Jadi untuk itu, kita mengkehendaki mereka memohon sijil halal, kalau tidak ada sijil berkenaan tindakan akan dikenakan kepada bufet-bufet Ramadan dan yang tidak mempunyai sijil halal.

“Kita boleh mengambil tindakan menyalahgunakan sijil halal di bawah Akta Perdagangan Dalam Negeri 2011, mereka boleh dihukum atau dipenjarakan jika bersalah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan Semarak semalam.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur berkata setiap hotel lima bintang di seluruh Sarawak mempunyai persijilan berkenaan serta memberitahu, terdapat beberapa yang masih dikaji sekarang untuk diberikan sijil berkenaan tidak lama lagi.

Setakat ini, terdapat 48 hotel yang telah berdaftar dan mempunyai sijil halal di seluruh Sarawak.

Daud berkata pegawai penguatkuasaan akan menjalankan pemantauan secara berterusan namun beliau enggan mendedahkan butiran lebih lanjut mengenainya.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati masyarakat Islam, pada bulan Ramadan Al Mubarak agar menghormati sesama Islam.

“Untuk masyarakat Islam kita tidak dibenarkan untuk makan pada waktu siang hari, haram bagi kita makan, tetapi kita tidak ada paksaan bagi masyarakat Islam yang tidak berpuasa.

“Kita ingatkan masyarakat Islam, berpuasalah… bagi yang tidak berpuasa, hormatilah mereka yang berpuasa dan jika didapati mereka melakukan kesalahan berkenaan kedua-dua pihak pelanggan dan penjual akan diambil tindakan kerana tidak menghormati syarat-syarat sewaktu bulan Ramadan,” jelasnya.

Tetapi mereka yang sengaja mencabar kesucian agama Islam dengan makan di khalayak ramai akan dikenakan tindakan diambil, tegasnya.

Advertisement