Anda di sini

Militan: MCMC sedia bantu PDRM sekat laman sosial

Advertisement

Penglibatan memantau hanya dengan persetujuan polis

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi teknikal mahupun forensik bagi menyekat penggunaan laman sosial membabitkan aktiviti militan.

Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin berkata bagaimanapun penglibatan pihaknya dalam memantau serta menyekat kegiatan itu hanya dapat dilakukan dengan persetujuan polis kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa polis.

“Aktiviti militan atau pengganas boleh disiasat mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan. Namun, setakat ini, MCMC belum menerima sebarang permohonan sekatan laman web daripada pihak polis mahupun Jabatan Agama Islam berkaitan perkara ini,” katanya kepada Bernama, semalam.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar pada Jumaat lepas tentang keterbukaan militan Malaysia di Syria berkongsi pengalaman berjihad di negara itu dalam laman sosial kebelakangan ini.

Bagaimanapun Zulkarnain menegaskan, penyekatan itu terhad kerana setiap laman sosial seperti Facebook dan YouTube mempunyai terma dan syarat penggunaan tersendiri.

“Kandungan yang dimuat naik melalui Facebook atau YouTube tidak boleh disekat keseluruhannya kerana ia boleh menjejaskan keseluruhan kandungan lain yang terdapat dalam laman web tersebut untuk pengguna yang lain,” katanya.

Namun begitu, tindakan tegas boleh diambil oleh pihak pentadbir laman media sosial terhadap pemilik akaun yang memuat naik kandungan yang berunsur militan.

Justeru, orang ramai juga digalakkan untuk melapor terus kepada Facebook dan YouTube bagi akaun media sosial yang melanggar syarat dan terma penggunaannya.

Jumaat lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik sebagai berkata polis sedang menjejaki laman-laman web dan blog yang mempromosikan pergerakan jihad palsu dan militan kepada umum.

Menurutnya, polis akan memantau ketat laman-laman web itu terutama media sosial yang digunakan untuk merekrut anggota-anggota militan ke Syria dan Iraq. — Bernama

Advertisement