Anda di sini

Maklumkan Pejabat Residen, Daerah jika mengalami krisis air: Fatimah

Advertisement

KUCHING: Penduduk kampung khasnya pemimpin akar umbi yang mengalami krisis bekalan air ekoran cuaca panas yang berpanjangan di negeri ini perlu memaklumkan segera masalah itu kepada Pejabat Residen atau Daerah.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, Pejabat Residen dan Daerah merupakan jawatankuasa bencana peringkat bahagian yang akan bertindak segera menyalurkan bantuan diperlukan.

“Saya mahu penduduk kampung khasnya tuai rumah atau ketua masyarakat tampil memaklumkan tentang masalah air yang dialami di kawasan masing-masing khususnya pada musim kemarau ini kepada pejabat Residen atau Daerah atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya bantuan bekalan air dapat kita agihkan dengan kadar segera,” katanya ketika dihubungi semalam.

Fatimah menegaskan bahawa tanpa maklumat yang diberikan maka pihaknya mengalami masalah untuk mengetahui penduduk di kampung mana yang terjejas akibat cuaca panas yang berpanjangan ini.

Malah, menurutnya ketiadaan maklumat yang diterima akan menyebabkan kampung terjejas tidak menerima bantuan bekalan air seperti yang diperlukan.

“Kita perlu tahu di mana kampung itu, berapa keluarga yang terjejas supaya segala bentuk bantuan yang akan disalurkan dapat diagihkan dengan segera,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa kementeriannya juga bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi operasi mengagihkan bekalan air kepada penduduk yang terjejas.

Jelasnya lagi, kampung atau rumah panjang yang tidak dapat dihubungi menerusi jalan raya, pihaknya akan mengagihkan bantuan air botol kepada mereka yang terjejas.

“Penduduk kampung yang hanya bergantung kepada bekalan air daripada tadahan hujan  yang terputus bekalan air kita akan berikan air botol 1.5 liter sebanyak 12 botol untuk satu keluarga bagi kegunaan memasak dan minum satu minggu.

“Sekiranya kemarau berpanjangan kami akan menghantar semula bekalan air botol ini kepada penduduk terjejas,” ujarnya.

Advertisement