Anda di sini

Lesen pembakaran terbuka ditarik balik jika cuaca kering kian teruk

Advertisement

KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) akan menarik balik lesen pembakaran terbuka bagi tujuan komersial sekiranya keadaan cuaca kering yang melanda negeri ini bertambah teruk.

Kontroler NREB Peter Sawal berkata ketika ini pihaknya memantau rapat aktiviti-aktiviti pembakaran terbuka khususnya yang dilakukan oleh syarikat-syarikat perladangan walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan Indeks Cuaca (risiko) Kebakaran (FWI) di negeri ini masih rendah.

“NREB memantau secara rapat aktiviti pembakaran terbuka di negeri ini khasnya bagi tujuan komersial walaupun IPU dan FWI masih rendah, bagi mengelak api merebak.

“NREB juga masih memproses permohonan lesen bagi tujuan itu tetapi jika dalam tempoh beberapa hari akan datang cuaca dan IPU bertambah teruk, kami tidak teragak-agak menarik balik lesen yang dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau menambah, buat masa ini NREB belum mengambil keputusan menghentikan pengeluaran lesen pembakaran terbuka.

Bagaimanapun katanya syarikat perladangan mahupun komersial yang mahu melakukan pembakaran terbuka mesti memaklum serta memohon kebenaran daripada lembaga itu.

Permohonan melakukan pembakaran terbuka penting bagi membolehkan NREB memantau situasi sekali gus mengelak api merebak ke kawasan lain, jelasnya.

“Kepada masyarakat umum yang mahu melakukan pembakaran terbuka, nasihat saya ialah lakukan dengan berhati-hati, jangan sampai merebak terutama melibatkan kawasan lalang dan belukar,” katanya.

Sarawak mula dilanda cuaca panas dan kering sejak awal Jun ini bagaimanapun sehingga jam 1 petang semalam semua kawasan mencatat IPU baik dan sederhana.

Advertisement