Anda di sini

Komuniti dalam sektor koperasi disaran terlibat dalam perniagaan

Advertisement

KUCHING:  Komuniti dalam sektor koperasi disaran melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan bukannya terhad kepada aktiviti sedia ada termasuk hanya memberi bantuan kewangan kepada ahlinya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, komuniti koperasi Bumiputera khasnya, perlu mengambil contoh rakan-rakan mereka iaitu kaum Cina yang kini menjadi peneraju ekonomi negara.

“Perniagaan adalah salah satu daripada cara kita untuk melangkah ke hadapan dan anda perlu melihat bahawa perniagaan adalah pekerjaan alternatif untuk kita lebih maju.

“Misalnya di New Zealand, 80 peratus daripada aktiviti pengeluaran susu lembu adalah daripada koperasi mereka tetapi di negara kita belum ada komuniti koperasi yang menyumbang begitu besar kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Seminar Motivasi Pelajar SPM dan STPM bagi kawasan Parlimen Santubong anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sarawak yang dihadiri Ketua Penolong Pengarah Pembangunan SKM Sarawak Basuini Ali di Yayasan Sarawak di Jalan Sultan Tengah di sini, kelmarin.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata prinsip koperasi adalah untuk mendapatkan keuntungan dan sekiranya hasil itu tidak dilabur atau dijaga sebaik mungkin ia tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada ahli-ahlinya.

Maka itu, adalah amat penting kepada masyarakat untuk memikirkan penglibatan dalam perniagaan yang lebih kukuh sebelum ia disumbangkan semula kepada masyarakat sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka.

“Program mengkoperasikan syarikat merupakan agenda kerajaan di mana SKM menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada masyarakat dewasa akan menjadi masyarakat koperasi,” tegasnya.

Menurut Ahli Parlimen Santubong itu, sektor koperasi kini merupakan sebuah sektor perniagaan yang begitu besar dan difahamkan sehingga Disember 2013 bilangan anggota koperasi di seluruh negara mencapai 7.7 juta orang.

Selain itu, modal saham atau yuran terkumpul berjumlah RM13.8 bilion serta aset terkumpul berjumlah RM104.60 bilion manakala jumlah perniagaan adalah RM33 bilion dengan keuntungan sebanyak RM22.30 bilion.

“Di Sarawak sehingga Disember 2013 modal syer terkumpul adalah RM150.50 juta dan jumlah aset terkumpul RM515.20 juta manakala pusingan perniagaan adalah sebanyak RM168.80 juta,” katanya.

Advertisement