Anda di sini

Harumkan nama negara melalui sukan

Advertisement

Oleh W. Bolly Ongie //

UNTUKMU: Rosimi menyampaikan cenderamata kenangan kepada Dennis (tengah) sambil disaksikan oleh Rosidi, Awang Safarizan dan Ralph Rampai (kiri).

KEMAJUAN sesebuah negara kerap kali dikaitkan dengan prestasinya dalam bidang sukan dan walau sebesar atau sekecil mana sekalipun negara itu, masyarakat dunia akan mengenalinya hanya dengan kejayaan seseorang warganegaranya dalam bidang sukan, terutama di peringkat dunia.

Sebagai contoh, Datuk Lee Chong Wei yang hebat dalam sukan badminton, Datuk Nicol David dalam bidang skuasy dan Pandelela Rinong dalam bidang sukan terjun, demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau.

Oleh yang demikian katanya, kerajaan sentiasa berikhtiar untuk memaju dan memanfaatkan sukan dalam kalangan masyarakat melalui usaha melahirkan bakat-bakat baharu yang berpotensi serta menggalakkan peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal di kalangan masyarakat khususnya generasi muda dan pelajar.

“Penglibatan para pelajar dalam bidang sukan secara aktif dan berterusan boleh membina tubuh badan yang sihat, selain membentuksemangat juang yang tinggi serta berlatih dalam mendisiplinkan diri,” katanya.

Dennis memberitahu demikian semasa berucap pada majlis pembukaan dan perasmian Kejohanan Olahraga SMK Telang Usan kali ke-11 pada tahun ini yang diadakan di Kompleks Sukan Mini Marudi baru-baru ini.

Beliau berkata bahawa disiplin adalah satu nilai menyeluruh yang tidak dapat diketepikan dalam setiap lapisan masyarakat terutama pelajar dan faktor disiplin harus dipupuk dalam diri seseorang itu dari peringkat umur seawal mungkin.

“Malah penglibatan para pelajar dalam sukan sangat penting kerana sukan memaksa kita mendisiplinkan diri. Kalau bukan disiplin untuk berlatih setiap hari, tidak mungkin pelajar-pelajar yang ada di kawasan Telang Usan, dapat berada di sini mewakili sekolah ataupun zon masing masing,” jelas beliau lagi.

“Kita tidak boleh mengawal atau mengubah dari mana kita datang tetapi kita boleh mengawal atau mengubah masa depan kita,” katanya.

JUARA: Rumah Helang bersama piala kejuaraan mereka pada Kejohanan Olahraga SMK Telang Usan kali ke-11 baru-baru ini.

Selain itu, kejohanan sukan seperti itu juga mampu membina kekuatan mental yakni mengawal emosi semasa dalam pertandingan, di samping dapat membentuk semangat kesukanan yang tinggi di kalangan atlet.

Dalam pada itu Dennis menasihatkan para peserta yang mengambil bahagian bahawa mereka masih seorang pelajar, yang perlu menumpukan juga sepenuh perhatian mereka terhadap pelajaran.

Ini kerana katanya, pengetahuan dan pelajaran amat penting kepada mereka demi masa depan yang lebih cerah, dengan kerajaan kini terus berusaha mewujudkan peluangpeluang pekerjaan demi masa depan yang lebih cerah untuk rakyat.

“Apa yang perlu kamu lakukan ialah harus belajar dengan rajin dan pastikan kamu menggunakan usia zaman persekolahan ini sepenuhnya untuk memiliki dan menikmati 60 hingga 80 tahun dari usia masa depan kamu dalam keadaan yang lebih selesa kelak,” katanya lagi.

Pada kejohanan sukan tersebut, johan keseluruhannya dimenangi oleh Rumah Helang yang memunggut sebanyak 324 mata, manakala Rumah Kenyalang di tempat kedua dengan 323 mata dan Rumah Geruda di tempat ketiga dengan pungutan sebanyak 307 mata.

Sementara itu anugerah olahragawati dimenangi oleh adik Juita Yusry dari Rumah Kenyalang dan olaharagawan ialah Donavan Bunsu dari Rumah Helang.

Pada majlis tersebut, Dennis turut mengumumkan geran kerajaan (MRP) sebanyak RM10,000 untuk pihak sekolah bagi menjalankan aktiviti tahunannya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah wakil Pegawai Pendidikan Daerah Baram Awang Safarizan, PK1 SMK Telang Usan Rosimi Erong serta guru-guru kanan sekolah dan pengerusi PIBG Rosidi Bujang.

Advertisement