Anda di sini

Evra bermasalah besar

Advertisement

Mungkin tidak jadi kapten Perancis tetapi perkuat barisan pertahanan

BRAZIL: Empat tahun lalu, Patrice Evra menghadapi masalah besar sebagai ketua pemain bola sepak Perancis yang melancarkan mogok.

Hari ini dia adalah kuasa moral sekali lagi dalam bilik persalinan dan dengan yakin menangkis cabaran kepada tempatnya di atas padang.

Apabila Perancis memulakan perlawanan pusingan kedua menentang Nigeria yang sukar pada Piala Dunia pada awal pagi esok, Evra mungkin tidak lagi menjadi kapten tetapi dia pasti memainkan peranan penting dalam barisan pertahanan jurulatih Didier Deschamps.

Selepas beberapa persembahan yang hebat, penyokong Perancis percaya pasukan mereka sudahpun menjadi juara.

Negara lain pasti mahu melihat sama ada Les Bleus dapat mengesahkan ini atau tidak ketika menentang juara Afrika nanti.

Evra, 33, bernasib baik dapat bermain pada Piala Dunia.

Pada 2010, dia adalah kapten yang mengetuai tunjuk perasaan pasukan selepas Nicolas Anelka dihantar pulang kerana berbalah dengan jurulatih, Raymond Domenech.

Perancis tersingkir dalam keaiban dan pemain pertahanan Manchester United itu digantung untuk lima perlawanan antarabangsa.

Kenyataannya yang lantang turut menarik tumpuan di Perancis.

Dia khususnya membidas empat pengulas televisyen, termasuk bekas juara Piala Dunia Bixente Lizarazu, sebagai ‘parasit’ pada Oktober lalu apabila mereka mengkritik ceramah pasukan yang dia berikan pada waktu rehat.

“Jika seorang wartawan menyengat saya, saya tahu bagaimana untuk menjawab,” kata Evra pada satu sidang akhbar.

Evra sudah kembali dan walaupun Deschamps, jurulatih sekarang berkata pemain kelahiran Senegal itu tidak dapat menjadi kapten, sikap hormat- menghormati antara kedua-dua mereka jelas kelihatan dan bermula ketika Evra bermain di bawahnya di Monaco dan mereka mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada 2004.

“Tiada yang pernah pasti dengan Deschamps,” kata Evra yang diletakkan di posisi pertahanan kiri oleh Deschamps dari posisi sayap kiri.

“Itulah sebabnya kenapa saya suka bekerja dengannya. Dia tidak pernah beri hadiah kepada kita.

“Dia akan merenung mata anda dan berkata, ‘Pat, jika anda buat silap, saya tidak akan membiarkan anda’. Saya tahu jika saya bertindak melampau, saya akan dikeluarkan dari pasukan ini.”

Evra pula telah menerima pujian kerana cara dia membimbing pemain-pemain yang lebih muda.

Pemain veteran itu telah campur tangan untuk menenangkan pemain tengah Paul Pogba ketika dia kelihatan nyaris dilayangkan kad merah ketika menentang Honduras dalam perlawanan Kumpulan E mereka.

Pemain lain turut memberi penghormatan kepada peranan Evra dalam bilik persalinan untuk membina perpaduan pasukan yang begitu penting kepada stail Perancis.

“Hanya kerana saya bukan kapten tidak bermakna saya tidak akan memainkan peranan saya di atas padang atau dalam bilik persalinan,” katanya.

Evra juga telah menunaikan kewajipannya di atas padang.

Selepas berjaya mengatasi cabaran Gael Clichy bagi posisi pertahanan kiri, dia sekarang mengetepikan pemain pertahanan Paris St Germain yang berusia 21 tahun Lucas Digne.

Evra berkata, dia memberikan ‘gambaran seperti berusia lapan tahun’ dan dia lari dan membentes semasa kemenangan 5- 2 Perancis ke atas Switzerland dengan kepantasan dan azam yang sekuat pemain termuda dalam pasukan.

Di Manchester United, Evra sekarang menghadapi saingan daripada bintang England yang berusia 18 tahun Luke Shaw.

Namun, dia sudah menandatangani lanjutan kontrak selama setahun lagi bersama gergasi Inggeris itu membayangkan dia bersedia untuk merebut tempatnya. — AFP

Advertisement