Anda di sini

Dekatkan generasi muda dengan masjid

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

Pelbagai aktiviti perlu diadakan bagi tarik golongan ini dekati rumah ibadat

BALINGIAN: Pelbagai aktiviti perlu diadakan di masjid dan surau bagi menarik masyarakat khususnya generasi muda mendekati rumah ibadat berkenaan.

Timbalan Wali Kota Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) Kadir Jamil berkata program yang diadakan di masjid mampu mendekatkan generasi muda dengan masjid menerusi penganjuran acara sukan dan sebagainya.

Begitupun, gelanggang sukan seperti futsal dan sepak takraw perlu diperbanyakkan pembinaannya di pekarangan masjid dan surau bagi kemudahan bermain sukan itu.

Katanya apabila adanya kemudahan itu maka generasi muda bukan sahaja dapat bermain sukan itu dekat dengan masjid bahkan apabila masuk waktu solat mereka boleh berhenti seketika daripada permainan untuk mengerjakan solat.

“Ini satu cara untuk mendekatkan generasi muda dengan masjid,” katanya pada Majlis Penangguhan Program Cinta Al-Quran dan Explore Masjid di Masjid Darul Taqwa Balingian anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Mukah dengan kerjasama Masjid Darul Taqwa Balingian.

Turut hadir Pengerusi Masjid Darul Taqwa Balingian Perti @ Pardi Sarchian.

Program Cinta Al-Quran dan Explore Masjid itu disertai 24 peserta ujian tilawah al-Quran dan 19 kumpulan `explore’ masjid.

Kadir berkata generasi muda hari ini lebih tertumpu kepada telefon bimbit, tablet, komputer riba dan alat-alat elektronik canggih jadi alat mainan sehingga mereka kurang terlibat dalam kegiatan sosial.

Justeru katanya, jawatankuasa masjid perlu memperbanyak program di masjid supaya lebih ramai generasi muda dapat menyertainya sekali gus dapat meningkatkan keyakinan generasi muda agar tidak kekok dan tiada halangan hadir dalam aktiviti-aktiviti ibadah yang diadakan di masjid.

Dalam perkembangan lain, Kadir menyarankan agar penganjur memperbanyak aktiviti sukan untuk peserta yang terlibat serta tempoh program dipanjangkan hingga ke tiga hari.

“Penambahan program dan tempoh masa program dipanjangkan akan menjinakkan peserta khususnya anak muda ke masjid,” katanya sambil menambah, anak-anak muda juga boleh membantu memberi input dan idea bersama dengan jawatankuasa pengurusan program di masjid.

Sementara itu, Pegawai JAIS Bahagian Mukah Nazar Hamdan berkata program-program yang melibatkan masjid selalunya disertai golongan berumur.

Disebabkan itu untuk menarik golongan muda, belia dan remaja mendekati masjid maka diadakan program seumpamanya,  bukan hanya dalam bentuk permainan tetapi penerapan maklumat-maklumat berkaitan dengan keagamaan.

Katanya keutamaan yang turut ditekankan adalah mendekatkan peserta yang terlibat menunaikan solat-solat fardu termasuk menarik minat peserta agar mencintai dan mempertingkatkan mutu bacaan al-Quran.

“Sekurang-kurangnya peserta akan tahu mengenai kelemahan bacaan al-Quran mereka,” katanya.

Menurutnya, program yang diadakan itu dilihat sedikit sebanyak menepati sasaran untuk generasi muda hadir mendekati masjid.

Advertisement