Anda di sini

Chapel St Philip masih perlu dana RM200,000

Advertisement

KUCHING: Chapel St Philip yang terletak di Kilometer 20, RPR Batu 12, Jalan Kuching-Serian di sini memerlukan sekurang-kurangnya RM200,000 bagi pembesaran dan penambahbaikan bangunannya.

Pengerusi Women’s Fellowship Chapel St Philip Runi Sylvester Pungga berkata, setakat ini pihak chapel telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM4,000 hasil daripada sumbangan para komuniti gereja serta pihak dan individu luar.

Sebagai contoh katanya, Presiden Docesan Women Fellowship (DWF) Mitty Chai telah menyumbang sebanyak RM3,000 kepada pihak chapel bagi menampung perbelanjaan yang diperlukan.

“Chapel St Philip amat memerlukan bantuan daripada orang ramai khasnya komuniti gereja untuk sama-sama menyumbang kepada pihak chapel.

“Bagi tujuan itu, pihak chapel telah menganjurkan pelbagai aktiviti dan salah satu daripanya ialah Majlis Makan Malam Amal seperti yang diadakan pada malam ini.

“Menerusi majlis seumpama ini kami berharap ia akan dapat membantu pihak chapel mengumpul dana yang diperlukan bagi tujuan seperti yang dinyatakan,” ujarnya pada Majlis Makan Malam Amal di sebuah restoran di sini kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Runi memberitahu bahawa Chapel St Philip telah dipilih untuk menjadi pusat bagi acara pengampunan dosa pada bulan September akan datang.

Ini merupakan kali kedua St Philip dipilih dan diberi kepercayaan untuk menganjurkan acara tersebut oleh komuniti gereja.

Susulan itu, beliau berharap kerja-kerja pembesaran gereja dapat disiapkan sekurang-kurangnya 60 peratus bagi membolehkan acara tersebut diadakan.

Dalam pada itu sekitar 500 orang telah menghadiri majlis pada malam Jumaat lalu yang mana mereka telah dihiburkan dengan persembahan live band oleh band KBC.

Bagi memeriahkan lagi majlis turut diadakan persembahan lagu tajaan dan cabutan bertuah serta persembahan khas daripada Women Fellowship St Philip.

Advertisement