Anda di sini

Belia sahut cabaran politik baharu bersama TERAS

Advertisement

Oleh Florence Nervyn //

500 belia berikrar memulakan perjalanan politik bersama Wong dengan menyertai TERAS

SERTAI TERAS: Toh (dua kiri) menyerahkan surat kemasukan keahlian TERAS kepada Wong (empat kanan). Turut kelihatan Janet (dua kanan) dan Andrew (kiri) di Sibu kelmarin.

SIBU: Seramai 500 belia berikrar bersama Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh menyahut cabaran memulakan perjalanan politik baharu dengan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Kumpulan belia diketuai pengerusi penganjur Toh Jack Kuong menyerahkan borang permohonanan kemasukan keahlian TERAS kepada Wong pada Majlis Makan Malam Sibu Youth Solidarity Night, di sini malam kelmarin.

Wong berkata kebanyakan belia itu terdiri daripada mereka yang masih belum terlibat dalam mana-mana parti politik dan secara sukarela telah menyahut cabaran bersamanya dalam perjalanan politik baharu.

“Penyertaan golongan belia ini menjadi barisan hadapan landasan Barisan Nasional (BN) Negeri.

“Dengan arah tuju yang baharu, penduduk bandar akan mempunyai akses secara langsung kepada BN,” katanya.

Beliau menjelaskan, kini tiba masanya rakyat khususnya masyarakat Cina menggembleng tenaga mengukuhkan kekuatan politik.

“Dibandingkan dahulu, keperluan dan kehendak masyarakat Cina hanya sampai kepada BN menerusi Jawatankuasa Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Keadaan sudah berubah. Kita kini mempunyai akses terus untuk diri sendiri,” ujarnya.

Wong berkata hubungan Sibu dengan SUPP Pusat sudah lama tegang sejak tiga tahun lalu di samping dorongan aduan daripada 14 pilihan raya peringkat cawangan.

“Ini diikuti dengan penganiayaan dalam parti (persecutions in the party) apabila ahli-ahli yang kurang berpuas hati memfailkan aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Selain itu, SUPP Pusat juga melayan mereka ibarat musuh dan episod itu berakhir dengan pemecatannya dua kali dalam tempoh lima bulan tahun ini dan ahli-ahli lain juga menjadi mangsa.

“Ramai ahli yang menerima surat tunjuk sebab minta mereka memberi sebab untuk tidak diambil tindakan disiplin kepada mereka.

“Nasihat saya kepada SUPP Pusat, jangan buang masa dalam isu ini. Mereka (ahli TERAS) telah berikrar untuk berenang atau tenggelam bersama-sama saya,” katanya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat itu berkata, penyertaan golongan belia dalam TERAS membuktikan sinar harapan baharu dalam hala tuju politik baharu itu.

“Selepas penyertaan 500 belia dalam TERAS malam ini, ribuan ahli SUPP akan mengikut langkah menyertai kita kerana bosan dengan ketidakadilan dalam pilihan raya peringkat cawangan 2011,” ujarnya.

Menyentuh mengenai langkah politiknya untuk masyarakat Cina dan visi anak-anak muda, Wong berkata, beliau membawa golongan profesional, pemimpin belia, usahawan dan lain-lain bertemu dengan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkongsi pandangan mengenai isu-isu dihadapi mereka.

“Kami mengadakan perbincangan serius menangani masalah yang dihadapi kaum Cina. Beberapa isu yang dapat diselesaikan dengan segera, malah ada perkara yang perlu diselesaikan masyarakat Cina sendiri dengan sandaran kerajaan.

“Apa yang penting masyarakat Cina harus menggembleng tenaga dan bersatu hati mengukuhkan kekuatan politik dan saling bekerjasama dengan kerajaan demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Hadir sama Kapitan Datin Janet Lau dan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Andrew Wong.

Advertisement