Anda di sini

Bazar Ramadan Sukma Ria paling mendapat sambutan di kawasan DBKU

Advertisement

KUCHING: Selain Bina Mara dan Semarak, sepanjang Ramadan ini Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) turut menyediakan lokasi bazar Ramadan di Sukma Ria yang menawarkan 104 gerai menjual juadah berbuka puasa.

Dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, gerai yang disewakan kepada masyarakat setempat itu dibahagikan kepada dua iaitu 96 gerai menjual pelbagai makanan dan minuman manakala lapan lagi adalah gerai panggang.

Seperti bazar Ramadan lain yang terdapat di negeri ini, bazar Ramadan Sukma Ria turut ‘menyajikan’ pelbagai jenis juadah berbuka puasa.

Menurut Pengurus Bazar Ramadan Sukma Ria Esmani Chasemon, Sukma Ria merupakan tapak yang mendapat sambutan menggalakkan berbanding dua lainnya iaitu 57 petak disewa bagi Bina Mara dan Semarak (73 petak).

“Penganjuran bazar Ramadan di DBKU tahun ini mendapat kerjasama pihak Central Coldstorage Kuching Sdn Bhd dan Maggi Malaysia (Nestle).

“Melalui penganjurannya diharap ia dapat menggalakkan dan memberi peluang bagi meningkatkan sosioekonomi para peniaga kecil terutama kepada peniaga Bumiputera,” katanya.

Seorang pengunjung, Yahya Samad, 40, berkata dia tidak sabar menunggu petang kerana ingin menyaksikan keadaan bazar Ramadan di Sukma Ria pada tahun ini.

“Saya kerap berkunjung ke sini dan pada hari ini (semalam) seperti biasa saya tidak mahu melepaskan peluang untuk berkunjung ke sini untuk mendapatkan makanan kegemaran saya di bazar Ramadan ini,” ujarnya.

Terdahulu, semasa majlis pelancaran tersebut, Hasidah telah melakukan simbolik perasmian dan kemudiannya beliau melakukan lawatan ke gerai-gerai untuk mengagihkan apron dan topi kepada 104 pemilik gerai di situ.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah DBKU Salwa Fauzi dan Pegawai Bahagian Pengurusan Pelesenan DBKU Chong Ted Mim.

Advertisement