Anda di sini

Bazar Ramadan mampu jadi platform perpaduan

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun //

Pengusaha, pengunjung bazar Ramadan berbilang kaum

KUCHING: Bazar Ramadan yang menawarkan pelbagai juadah makanan mampu menjadi platform terbaik untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk negeri ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini kerana pengusaha gerai dan pengunjung bazar Ramadan terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

Malah menurutnya, pembukaan bazar Ramadan juga akan memberi ruang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan.

“Kita sedia maklum Sarawak merupakan negeri contoh kepada amalan perpaduan, jadi pembukaan bazar (Ramadan) akan mengukuhkan lagi semangat ini (perpaduan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Stutong di sini, semalam.

Sebanyak 151 gerai didirikan di bazar tersebut dengan pelbagai makanan dan minuman dijual.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong mahu rakyat berbilang kaum di negeri ini terus memupuk perpaduan dengan apa sahaja cara atau pendekatan.

“Kita perlu terus pupuk perpaduan dalam apa sahaja cara.

“Ini kerana perpaduan penting untuk memastikan kemakmuran negeri ini sentiasa terjamin,” ujarnya.

Selain itu tegasnya, masyarakat tidak boleh menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga kebersihan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjaga kebersihan.

“Kita perlu bertanggungjawab dengan menjaga kebersihan di kawasan sendiri. “Jangan hanya bergantung kepada PBT untuk kutip sampah atau bersihkan kawasan kita,” jelasnya.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan dan Timbalan Datuk Bandar MBKS Abang Afandi Abang Anuar.

Advertisement