Anda di sini

Bazar Ramadan Bina Mara lokasi masyarakat Islam kota beli juadah

Advertisement

KUCHING: Bazar Ramadan Bina Mara Jalan Haji Taha di sini menjadi lokasi untuk masyarakat Islam di kota membeli juadah berbuka puasa.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, bazar Ramadan itu dibuka di situ ekoran permintaan masyarakat di kawasan tersebut.

“Disebabkan permintaan orang ramai supaya diwujudkan bazar Ramadan di sini, DBKU telah membuat keputusan untuk menempatkannya di Bina Mara.

“Saya rasakan ini adalah satu alternatif kerana DBKU mempunyai tiga bazar Ramadan satu di sini, satu di Sukma dan satu di Samarak, membuka ruang kepada masyarakat Islam membeli juadah berbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bazar Ramadan Bina Mara, Jalan Haji Taha di sini semalam yang turut dihadiri Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berkata, di situ dahulunya kawasan ekonomi sebelum tumbuhnya pembangunan di sekitar jalan itu.

Meskipun struktur bazar itu belum siap sepenuhnya, beliau memberitahu bahawa pihak kontraktor akan menjalankan aktiviti pemasangan khemah dan lampu di bazar tersebut supaya ia siap sepenuhnya menjelang hari ini.

“Keadaan struktur memang belum sempurna disebabkan kontraktor yang tidak sempat menyiapkan pemasangan khemah dan kita dimaklumkan bahawa mereka akan menyiapkannya malam ini dan siap insya-Allah esok,” ujarnya.

Bazar Ramadan Bina Mara mempunyai 57 gerai jualan pelbagai juadah makanan seperti kuih-muih tradisional, minuman, lauk-pauk, bubur pedas, nasi hujan panas, ayam panggang dan banyak lagi.

Menerusi pembukaan bazar itu, ia diharap dapat menggalakkan dan memberi peluang bagi meningkatkan sosioekonomi para peniaga kecil terutama kepada peniaga Bumiputera.

Advertisement