Anda di sini

Aktiviti penyeludupan di Ba’Kelalan berleluasa

Advertisement

Oleh Mastura Ismail //

Pos kawalan perlu dibina bagi membendung penyeludupan barang kawalan, kenderaan curi

KAWALAN: Pos Kawalan Penduduk Ba’Kelalan di bawah Rukun Tetangga menggunakan tiang penghadang sebelum dibuka.

BA’KELALAN: Penduduk di tanah tinggi Ba’Kelalan di sini mahu kerajaan membina segera Pos Kawalan Kastam dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan sempadan di sini bagi membendung aktiviti penyeludupan barang kawalan bersubsidi dan kenderaan disyaki curi ke negara jiran.

Pengerusi Belia Ba’Kelalan Tadam Arun berkata sebagai langkah sementara penduduk bersetuju membina tiang penghadang bagi menghalang penyeludupan barang-barang kawalan dan kenderaan curi ke negara jiran.

Bagaimanapun, tiang penghadang terbabit sudah dibuka awal Mac lalu kerana kerap dirosakkan penyeludup dan pembawa kenderaan curi ke negara jiran melalui sempadan.

“Kami penduduk Ba’Kelalan mahu pembinaan Pos Kawalan Kastam dan PGA dipercepatkan di kawasan sempadan bagi menangani kegiatan yang menyalahi undang-undang di sempadan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, tiang penghadang terbabit dibina pada Ogos tahun lalu hasil persetujuan dalam mesyuarat masyarakat Ba’Kelalan dan Jawatankuasa Rukun Tetangga bagi menangani sekali gus menghalang penyeludupan barang kawalan dan kenderaan disyaki curi ke negara jiran.

Tadam mendedahkan, penduduk turut mendakwa bahawa barang-barang diangkut dan dijual dari sini ke negara jiran tanpa kawalan.

KENDERAAAN CURI: Kenderaan yang diseludup ke negeri jiran melalui sempadan.

“Keadaan ini menyebabkan penduduk Ba’Kelalan tidak mendapat keistimewaan, khususnya dalam usaha merealiasasikan hasrat kerajaan membantu rakyat melalui harga subsidi barang kawalan kerana barang keperluan asas itu dibawa terus ke negara jiran,” katanya.

Masalah penyeludupan barang kawalan yang dihadapi sejak sekian lama itu menjejaskan ekonomi penduduk setempat terutama peniaga akibat aktiviti penyeludupan di sempadan.

“Kami amat berharap kerajaan dan pihak berkaitan dapat turun padang menangani masalah ini sekali gus menangani kes penyeludupan di sempadan dengan menyegerakan pembinaan pejabat kastam dan PGA di sempadan,” rintihnya.

Selain aktiviti penyeludupan, Ketua PKR Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’Kelalan Baru Bian pernah mendakwa wujud aktiviti penyalahgunaan dadah di sempadan tanah tinggi itu sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk.

Kenyataan Baru itu mendapat perhatian Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang sebelum ini dipetik sebagai berkata: “KDN mengambil serius kenyataan Ketua PKR Sarawak (Baru Bian) mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di sempadan terbabit.

Bagaimanapun, Baru perlu mengemukakan bukti berhubung dakwaan itu agar tindakan tegas dapat diambil.

“KDN tidak ragu-ragu mengenakan hukuman berat terhadap mereka yang terlibat,” katanya.

Wan Junaidi juga berkata kerajaan merancang membina CIQ di pos kawalan sempadan di Ba’Kelalan menjelang 2015 bagi mengekang aktiviti penyeludupan di kawasan utara Sarawak.

SELUDUP: Antara barang yang diseludup ke negara jiran.

Advertisement