Anda di sini

Tanah Perkuburan Islam Semariang semakin padat

Advertisement

KUCHING: Tanah Perkuburan Islam Semariang yang menyaksikan anggaran 10 jenazah dikebumikan setiap hari dijangka hanya mampu menampung bilangan jenazah baharu untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Ini kerana saban tahun tanah perkuburan yang menempatkan penduduk sekitar Petra Jaya itu semakin padat dan sesak.

Sehubungan itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) memang merancang untuk memperbesarkan tanah perkuburan itu.

Bagaimanapun, menurutnya, rancangan itu perlu dibuat dengan teliti agar dapat menampung bilangan jenazah untuk tempoh yang lama.

“Memang tanah perkuburan ini dapat bertahan untuk tempoh 10 tahun akan datang, namun bagaimana dengan 30 atau 50 tahun akan datang?

“Saya dimaklumkan LAKMNS memang ada perancangan untuk memperbesarkan tanah perkuburan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Taklimat Ihya’ Ramadan LAKMNS semalam.

Selain memperbesarkan tanah perkuburan tersebut, menurutnya, LAKMNS turut merancang untuk menaik taraf infrastruktur dan memperindah persekitaran tanah perkuburan itu.

“Kita akan perindahkan tanah perkuburan ini untuk keselesaan keluarga yang menziarahi kubur,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Daud yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur berkata, umat Islam tidak sepatutnya terpengaruh dengan cerita negatif mengenai agensi Islam.

“Kita perlu melihat secara mendalam sumbangan agensi Islam terhadap masyarakat.

“Sepatutnya, kita tidak terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu yang sengaja menimbulkan isu agar kita membenci agensi Islam,” jelasnya.

Beliau menambah, umat Islam yang bukan warganegara Malaysia dinasihatkan supaya menghormati bulan Ramadan dengan tidak makan, minum atau merokok di khalayak ramai.

“Ini kerana tindakan juga akan diambil terhadap mereka. Saya berharap tahun ini tiada individu ditangkap seperti tahun-tahun lepas,” kata Daud.

Pada majlis itu, LAKMNS menyerahkan barangan keperluan kepada 38 masjid dan surau.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Putit Matzen, Mufti Negeri Datu Kipli Yassin dan Pengurus Besar LAKMNS Mohamad Sabry Othman.

Advertisement