Anda di sini

Pameran Minggu PKS di Sibu dapat sambutan

Advertisement

Oleh Borhaniza Ali Basah //

 

JOM BELI: Suzarina (kanan) menerangkan produk lumek merah kepada pengunjung di Pameran Minggu PKS baru-baru ini.

PAMERAN Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah berlangsung di lot parkir hadapan Wisma Sanyan, Sibu baru-baru ini.

Pameran tersebut anjuran Kementerian Pembangunan Perindustrian (KPP) disertai seramai 80 orang pengusaha kecil dan sederhana peringkat negeri Sarawak.

Wartawan Utusan Borneo telah berkesempatan menemu bual beberapa orang pengusaha PKS serta pengunjung di pameran berkenaan.

Rata-rata pengusaha PKS dan pengunjung menyambut baik usaha kerajaan membantu mempromosi dan mengembangkan rangkaian perniagaan pengusaha PKS melalui pameran tersebut.

Afendi Mahmud, 51, berkata beliau menyokong usaha kerajaan mengadakan pameran seumpama itu untuk membantu pengusaha PKS memajukan perniagaan mereka.

“Saya rasa pameran seperti ini sangat bagus dan pada pendapat saya juga untuk di lain waktu, agar lebih banyak kedai dan ruang pameran dibuka untuk pengunjung yang datang ke sini,” ujarnya.

Di samping itu, Jabatan Penjara Sibu tidak melepaskan peluang turut serta membuka kedai pameran dan jualan hasil kraf tangan banduan penjara Sibu.

TURUT SERTA: Jabatan Penjara Sibu yang membuka gerai pameran dan jualan hasil kraf tangan penghuni penjara.

“Ya, saya menyambut baik usaha kerajaan ini kerana sekurangkurangnya kami dapat menunjukkan apa yang kami ada, apa yang dilakukan mereka (banduan) yang di dalam itu kerana kami berada di dalam, jadi orang ramai mungkin tidak tahu aktiviti kami,” kata Zura Abdullah, pegawai dari Jabatan Penjara Sibu yang menguruskan kedai pameran dan jualan penjara Sibu.

“Selain itu kami menjual produk para banduan seperti perabot dan barangan kraf tangan kepada orang ramai yang berminat dengan hasil tangan mereka,” tambahnya lagi.

Dayang Suzarina, 25, yang membantu pengusahanya menjual dan mempromosikan produk lumek merah dari Bruit bersetuju dengan usaha kerajaan membantu pengusaha PKS dengan menganjurkan pameran seperti ini.

Selain itu Suzarina mencadangkan pihak penganjur pada masa akan datang mempromosikan Minggu Pameran PKS agar orang ramai mendapat info mengenai pameran seumpama ini lebih awal.

“Pameran ini bagus, cuma kelihatan kurang promosi. Sebab itu keadaan di sini agak lengang sedikit. Kalau boleh, masa akan datang lebih banyak promosi diadakan untuk menarik pengunjung datang ke sini. Namun selama seminggu ia diadakan, sambutan agak baik juga,” ujarnya.

Rata-rata peniaga dan pengunjung di Minggu Pameran PKS memberi respons yang positif.

Ini jelas menunjukkan usaha kerajaan khususnya KPP membantu pengusaha PKS memajukan perniagaan mereka disokong baik oleh orang ramai.

Advertisement