Anda di sini

Loew mungkin kekalkan barisan tengah Jerman

Advertisement

SANTO ANDRE, Brazil: Joachim Loew telah membayangkan dia akan mengekalkan barisan tengah yang bermain di Bayern Munich untuk perlawanan menentang Algeria pada peringkat 16 terakhir Piala Dunia pada jam 4.00 pagi Selasa (1 Julai) selepas jurulatih Jerman itu yakin dengan pemulihan sepenuhnya Bastian Schweinsteiger.

Jerman menduduki tempat teratas Kumpulan G dengan mendapatkan kemenangan 1-0 ke atas Amerika Syarikat (AS) pada awal pagi Jumaat lepas dan gol kemenangan Thomas Mueller menjadikannya salah seorang penjaring terbanyak dengan empat gol.

Kemenangan itu melagakan Jerman dengan Algeria di Porto Alegre pada awal pagi Selasa ini untuk merebut tempat pada peringkat suku akhir di Rio de Janeiro menentang sama ada Nigeria atau Perancis pada awal pagi Sabtu ini.

Loew khususnya gembira dengan kepulangan Schweinsteiger ke barisan kesebelasan utama di sisi kapten Philipp Lahm di bahagian tengah defensif Jerman.

Dua pemain Bayern itu bergabung baik dengan rakan sekelab mereka Toni Kross dalam posisi tengah serangan ketika menentang pasukan ‘Stars and Stripes’ (AS).

“Schweinsteiger sangat mantap, jika mengambil kira semua perkara,” kata Loew yang meletakkan Sami Khedira di atas bangku pemain simpanan ketika menentang AS.

“Bahagian tengah dengan Kroos, Schweinsteiger dan Lahm sangat bagus, sentiasa bersedia untuk memainkan bola selain mempelbagaikan taktik.”

Schweinsteiger menghabiskan dua perlawanan pembukaan Piala Dunia di atas bangku pemain simpanan setelah mengalami tendinitis lutut pada hujung musim lepas.

Selepas bermain selama 76 minit ketika menentang AS, Schweinsteiger telah memberi laluan kepada Mario Goetze, apabila Loew menguatkan barisan serangan pada akhir perlawanan.

Sementara Lahm berkata dia akan mengalu-alukan Schweinsteiger sekali lagi sebagai rakannya di bahagian tengah, Khedira pula memuji persembahan pesaingnya dalam posisi Nombor Enam.

“Basti semakin cergas sepanjang masa dan bermain dengan mantap,” kata Khedira.

“Saya berada di kedudukan yang baik dengan jurulatih dan waktu saya di atas bangku pemain simpanan memberi faedah kepada saya dari segi baki kejohanan.

“Kami juga dapat bermain baik bersama,” tambahnya dengan petunjuk yang jelas mengenai hala tuju Loew, kerana Lahm dapat kembali ke posisinya yang lazim di pertahanan kanan. — AFP

Advertisement