Anda di sini

Kebebasan beragama dipertahan

Advertisement

Peruntukan diberi untuk sedia kemudahan rumah ibadat: Ahmad Lai

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

MIRI: Sokongan kerajaan pusat terhadap kebebasan beragama rakyat di negeri ini diterjemah melalui peruntukan kerajaan dalam menyediakan kemudahan rumah-rumah ibadat.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, kerajaan pusat tidak pernah mengetepikan hak rakyat untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing, bahkan bersedia memberi bantuan sewajarnya.

“Hari ini (semalam) kita telah menyampaikan peralatan bernilai RM50,000 kepada Tokong Buddha Hwa Kwang Miri Taman Tunku dan ia bukti kerajaan pusat prihatin dengan hak kebebasan beragama rakyat,” ujarnya di sini semalam.

Ahmad Lai berkata, kerajaan melakukan yang terbaik dalam memastikan rakyat bebas mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing, seterusnya mengekalkan keharmonian kaum.

“Rakyat kita di negeri ini menikmati kebebasan tanpa sekatan dan mereka boleh melakukan aktiviti keagamaan dengan aman dan tenteram tanpa sebarang ketegangan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan pusat sentiasa menepati janji dan mengambil contoh tokong itu, kerajaan pusat telah menyampaikan peralatan bernilai RM50,000 untuk menaik taraf tokong berkenaan.

“Kita telah mengumumkan bantuan untuk menaik taraf tokong ini pada Oktober tahun lalu dan hari ini (semalam), janji berkenaan telah ditunaikan selaras dengan dasar kerajaan Barisan Nasional (BN),” tegasnya.

Beliau menambah, rakyat Sarawak harus menghargai kebebasan beragama dengan terus memelihara keharmonian yang telah dinikmati sejak dahulu.

Sehubungan itu, katanya, rakyat harus sentiasa bersatu padu dan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif sepertimana yang berlaku di negeri-negeri lain.

“Sarawak adalah negeri contoh yang mengamalkan konsep 1Malaysia dan rakyatnya memahami satu sama lain, makan dan minum bersama meskipun berlainan agama dan bangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Buddha Hwa Kwang Miri, Phang Soon Tun berkata pihaknya kini masih mengumpul sekurang-kurangnya satu setengah juta untuk bangunan tambahan.

Menurutnya, bangunan tambahan berkenaan menelan belanja kira-kira RM3 juta dan separuh daripada jumlah itu telah digunakan bagi tujuan menaik taraf bangunan.

Persatuan itu turut memberi pengiktirafan kepada Ahmad Lai dengan melantiknya sebagai penaung persatuan terbabit.

Advertisement