Anda di sini

JPJ tingkat penguatkuasaan sehingga musim perayaan

Advertisement

ALOR GAJAH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meningkatkan penguatkuasaan melalui Ops Penyamaran sepanjang Ramadan hingga musim perayaan Aidilfitri ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Yusoff Ayob.

Beliau berkata anggotanya akan menyamar sebagai penumpang bas bagi memantau salah laku pemandu.

“Kita sudah kenal pasti kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan kita akan tempatkan anggota kita di sana bagi memantau pengguna jalan raya selain pemandu bas,” katanya kepada pemberita selepas program Pengarah JPJ Bertemu Pelanggan di Kuala Linggi di sini, semalam.

Beliau berkata JPJ akan turut menggunakan khidmat Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ) dalam operasi pemantauan di jalan raya.

Penubuhan SM1JPJ bertujuan menghubungkan rakyat dengan JPJ dalam aktiviti berbentuk kesukarelaan bagi membantu kerajaan meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya.

Yusoff berkata setakat ini kira-kira 31,000 orang telah menganggotai SM1JPJ di seluruh negara dari Januari hingga Mei lepas dengan 1,600 daripadanya adalah dari negeri Melaka. — Bernama

Advertisement