Anda di sini

Elak jadi RC tidur, kata Lee

Advertisement

MIRI: Jangan jadi Jawatankuasa Penduduk (RC) yang tidur, tegur Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin.

Berucap merasmikan Majlis Pelantikan RC di Dewan Suarah petang semalam, Lee mahu ahli-ahli jawatankuasa memperkuatkan kerjasama mereka dengan anggota polis dalam menjaga keselamatan kawasan kediaman.

“Anda harus memaklumkan kepada pihak polis sekiranya terdapat aktiviti jenayah di kawasan anda. Anda juga harus rapat dengan ahli-ahli lain agar peranan anda dapat diperhebatkan,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru RC agar aktif menganjurkan aktiviti yang boleh merapatkan sekali gus menggalakkan penyertaan penduduk.

Datuk Bandar, Lawrence Lai pula memberitahu jumlah RC telah dikurangkan daripada 25 kepada 10 agar ahli-ahli Majlis atau kaunselor dapat mengawasi kawasan mereka dengan lebih baik lagi.

Setiap RC dianggotai oleh seramai tiga kaunselor yang dibantu oleh seramai lima anggota polis serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Ini adalah penyertaan sukarelawan. Tiada kelebihan, tiada gaji dan tiada elaun,” jelas Lawrence.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Superintenden Stanley Jonathan Ringgit dan Timbalan Residen Miri, Emang Oyo Emang.

Advertisement