Anda di sini

Costa Rica tekad cari gol awal elak ‘catenaccio’

Advertisement

RECIFE, Brazil: Costa Rica berazam untuk menjaringkan gol terlebih dahulu apabila mereka bertarung dengan Greece pada peringkat 16 terakhir Piala Dunia di Recife pada jam 4.00 pagi Isnin (30 Jun).

Greece telah membina reputasi sejak sekian lama sebagai pasukan yang amat sukar sekali untuk dirungkai, khususnya jika mereka menjaringkan gol pendahuluan.

Mereka hampir menyempurnakan sistem ‘catenaccio’ (kunci mangga) Itali yang klasik di mana pasukan yang bermain dengan cara yang ultra defensif dan berharap untuk menjaringkan satu gol menerusi serangan balas bagi meletakkan diri di hadapan dan seterusnya mempertahankannya.

Penolong teknikal ‘Los Ticos’ Luis Marin berkata pasukannya perlu menjaringkan gol awal dan menghalang Greece daripada menjaringkan gol pendahuluan sebelum mereka menutup pintu.

“Ia amat penting bagi kami untuk menjaringkan gol awal dalam perlawanan terutamanya kerana Greece dikenali sebagai pasukan yang mengetatkan barisan pertahanan sejurus selepas menjaringkan gol,” kata Marin.

“Namun kami tahu ia pada keseluruhannya adalah perlawanan yang sukar. Walaupun mereka tewas kepada Colombia (3-0), gol-gol yang membolosi mereka adalah kerana kesilapan yang mudah. Greece juga berbisa apabila mereka melancarkan serangan balas.”

Dia menambah: “Tendangan penalti mungkin akan memainkan peranan. Ia adalah sebahagian daripada sukan ini dan walaupun kami berharap ia tidak akan berlaku, kami perlu bersedia untuk setiap senario.

Costa Rica muncul sebagai salah sebuah pasukan yang cemerlang pada peringkat kumpulan apabila mereka mengejutkan Uruguay dan kemudian Itali sebelum seri dengan England untuk menduduki tempat teratas Kumpulan D.

Greece bernasib baik dapat mara ke pusingan kalah mati selepas Giorgios Samaras menyempurnakan satu tendangan penalti untuk memberikan kemenangan 2-1 kepada Greece ke atas Ivory Coast. — AFP

Advertisement