Anda di sini

Bersyukur akhirnya dapat taraf warganegara Malaysia

Advertisement

KUCHING: Ungkapan terima kasih tidak henti-henti diucapkan pasangan Chang Wan Sion, 41 dan isterinya, Eliana Pek, 36, kerana tiga orang anak mereka akhirnya berjaya menerima sijil taraf kewarganegaraan Malaysia selepas 14 tahun, semalam.

Bagi Chang dan Eliana, pengiktirafan kewarganegaraan itu sungguh besar maknanya dan menyifatkannya sebagai sinar cahaya baharu yang melengkapkan keluarga mereka.

Chang yang merupakan seorang nelayan berkata, masalah tersebut berlaku 14 tahun lalu apabila isterinya yang berasal dari Indonesia menukar pas lawatannya kepada pasport.

“Masalah kemudiannya berlaku semasa dia melahirkan anak pertama kami disebabkan perbezaan nama pada pasport berbeza dengan namanya di dalam sijil perkahwinan.

“Maka, anak kami tidak dapat didaftarkan sehinggalah kepada anak kami yang ketiga,” jelasnya sambil menambah isterinya itu berbangsa Dayak Salako dari Sambas.

Tambahnya, disebabkan ketiadaan kad pengenalan dan sijil lahir ketiga-tiga anaknya itu tidak mendapat bantuan pendidikan yang disediakan kerajaan seperti Bantuan Awal Persekolahan dan banyak lagi.

Justeru, Chang yang berasal dari Kampung No.10, Lundu mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan khasnya Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Santubong, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan semua pihak yang membantunya.

Terdahulu, Kapitan Chan Kian Ming dan Kapitan Tan Hua San memberitahu, pelbagai usaha telah dilakukan dan saluran ditemui oleh mereka untuk membantu keluarga itu.

“Kita berasa sungguh gembira apabila Datuk Wan datang ke kawasan kita pada tahun lalu dan kita mengambil kesempatan itu untuk berbincang dengan beliau mengenai masalah yang menimpa keluarga Chang.

“Syukur dengan bantuan beliau, tiga anak Chang akhirnya dapat menjadi rakyat Malaysia secara sah hari ini (semalam),” ujarnya.

Tambah Chan, masalah pendaftaran tidak dihadapi oleh anak bongsu Chang yang berusia empat bulan.

Terdahulu, Wan Junaidi telah menyampaikan sijil dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu kepada tiga orang anak Chan iaitu Chang Hon Hui, 10, Chang Suk Ting, 13 dan Chang Suk Chin, 14, semasa Majlis Penyampaian Cek MRP, Bantuan Kecemasan dan Bantuan Bulan Ramadan bagi DUN Pantai Damai dan Demak Laut di Dewan Yayasan Sarawak di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan Penolong Pegawai Kanan JPN Sidik Rashid.

Advertisement