Anda di sini

100 mangsa banjir Pahang kumpulan pertama terima bantuan UAE: Adnan

Advertisement

KUANTAN: Sebanyak 100 mangsa banjir di Pahang menerima cek bernilai RM1,000 masing-masing, sebagai penerima awal bantuan bernilai AS$10 juta (RM32.5 juta) daripada kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata penyerahan awal itu adalah sebagai simbolik sumbangan yang akan diberi kepada mereka yang terjejas dalam bencana yang melanda awal Disember tahun lalu.

“Buat masa ini, jumlah daftar sebenar mangsa banjir di negeri ini sudah mencecah angka 40,000 orang dan bantuan daripada UAE ini akan dipanjangkan kepada setiap rakyat yang terlibat dalam tragedi banjir tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penyampaian bantuan banjir berkenaan yang disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sini, malam kelmarin.

Majlis turut dihadiri oleh Duta Besar UAE ke Malaysia, Abdullah Mattar Al Mazrouei.

Bantuan itu kata Adnan mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan UAE yang diperkukuhkan menerusi persahabatan antara Tengku Abdullah dan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed al Nahyan.

Pada 24 Dis lepas, Presiden UAE Sheikh Khalifa Zayed al Nahyan mengumumkan peruntukan AS$$10 juta bagi membantu mangsa banjir yang melanda beberapa kawasan di Malaysia pada awal Disember 2013.

Bantuan itu khusus kepada lebih 20,000 keluarga yang terjejas akibat banjir besar yang melanda daerah Pekan dan Kuantan di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Delegasi Persatuan Bulan Sabit Merah dari UAE, Fahad Sultan berkata bantuan akan diagih dalam tiga peringkat.

Katanya peringkat pertama ialah memperbaiki rumah dan masjid yang rosak akibat banjir dan memberi bantuan kesihatan kepada keluarga yang memerlukan.

“Pada peringkat kedua, kami akan memberikan bantuan kelengkapan peralatan rumah kepada keluarga yang terlibat sebelum memberikan bantuan kewangan kepada individu mangsa banjir dalam fasa ketiga,” katanya. — Bernama

Advertisement