Anda di sini

Tiong kecewa rombakan kabinet tidak babit SPDP

Advertisement

KUCHING: Pemangku Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri Tiong King Sing menyokong kekecewaan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing selepas tidak ada jawatan diberikan kepada Ahli Parlimen kedua-dua parti dalam rombakan kabinet persekutuan baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, Tiong berkata beliau sedih kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melantik sebarang Ahli Parlimen SPDP ke jawatan kabinet walaupun parti tersebut memenangi keempat-empat kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Walaupun bekas presiden SPDP, Tan Sri William Mawan adalah antara Ahli Parlimen yang bertindak keluar parti, Tiong mendakwa parti itu masih mempunyai Ahli Parlimen yang cekap dan berupaya memikul sebarang jawatan dalam kabinet persekutuan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada parti MCA dan GERAKAN, Tiong mengalu-alukan pembabitan kedua-dua parti politik itu dalam kerajaan persekutuan menerusi rombakan tersebut.

Memandangkan MCA dan GERAKAN sudah kembali ke dalam kabinet, katanya, kedua-dua parti dapat memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat.

“Demikian juga SPDP, jika kami diwakili dalam kabinet persekutuan, kami dapat memberi lebih khidmat kepada rakyat di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Tiong percaya, jika Barisan Nasional (BN) mahu memperbaiki pencapaian mereka pada masa akan datang, Najib mesti melibatkan semua parti komponen BN dalam kabinet persekutuan.

“Kami harap Perdana Menteri akan memahami kebimbangan kami dan memperuntukkan jawatan dalam kabinet persekutuan secara adil kepada SPDP dan PRS kerana kami menyumbang kepada sembilan buah kerusi (Parlimen) kepada negeri,” kata Tiong.

Advertisement