Anda di sini

Regata Mini Pesta Belawai 2014 tarik minat lebih 2,000 pengunjung

Advertisement

PENGANJURAN Regata Mini sempena Pesta Belawai 2014 berjaya menarik minat lebih 2,000 pengunjung terutama peminat kejohanan perlumbaan bot pam.

Penyertaan lebih 10 bot laju pada temasya kali ini ternyata mendapat sambutan luar biasa di  samping berjaya menyediakan landasan terbaik kepada peminat-peminat bot laju mempamerkan aksi mengemudi bot di Muara Belawai.

Memandangkan sukan berkenaan meraih populariti di kalangan penduduk tempatan dan beberapa perlumbaan sebelum ini, ia meletakkan Belawai destinasi berpotensi sebagai sebahagian ‘litar perlumbaan’ bot laju di wilayah tengah Sarawak.

Perlepasan perlumbaan peringkat saringan disempurnakan oleh Pegawai Daerah Daro Abang Mohamed Abang Turkey, sementara pusingan akhir disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman.

Perlumbaan kali ini menyaksikan beberapa kategori seperti ‘power boat’ (4 pusingan), jetski (4 pusingan), jetski (2 pusingan) dan power boat (2 pusingan).

Pemenang bagi kategori power boat (4 dan 2 pusingan) dimenangi Khairudin Sehari dengan catatan masa 2 minit 45 saat, naib juara disandang Nasir Ibrahim dengan catatan masa 3 minit 13 saat dan tempat ketiga, Nurazila Naser (3 minit 25 saat).

Bagi kategori jetski (2 pusingan), juara dimenangi Mohamad Azman Haili dengan catatan masa 2 minit 10 saat, naib juara Norkersani Haili dengan 2 minit 30 saat dan ketiga Rusdi Anggi (2 minit 50 saat).

Sementara itu, bagi kategori jetski (4 pusingan), juara dimenangi Mulyadi Abdul Razak mencatat masa 4 minit 15 saat, naib jura Mohamad Azman Haili dengan masa 4 minit 35 saat dan diekori rapat pemenang tempat ketiga, Norkersani Haili (4 minit 40 saat).

Selain perlumbaan bot laju, Pesta Belawai turut diwarnai dengan beberapa acara lain seperti pertunjukan layang-layang oleh Kelab Gudi Sarikei (KEGUSA), pertandingan masakan, kilauan emas, futsal belia, kugiran, memancing pantai, pameran dan gerai jualan selain pentas hiburan yang menampilkan artis-artis tempatan.

Advertisement