Anda di sini

Maklumat tepat, seimbang

Advertisement

Oleh Jessica Jawing

 

KUCHING: Kehadiran AZAM Online TV dipercayai akan membantu kerajaan dan agensi berkaitan untuk menyebarkan maklumat pembangunan dalam bentuk multimedia dengan lebih tepat serta seimbang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani berkata, dengan kepantasan maklumat yang hanya di hujung jari kini, ia mungkin menyebabkan sesetengah daripada maklumat yang ingin disampaikan tidak tepat dan tidak benar.

“Sering kali kita melihat kenyataan yang tidak seimbang dan laporan atas talian yang menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai usaha kerajaan dalam membangunkan rakyatnya.

“Saya percaya dengan adanya AZAM Online TV, ia akan membantu kerajaan dan agensi berkaitan menyebarkan maklumat pembangunan yang menawarkan kandungan interaktif serta menarik kepada komuniti,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak berkata demikian semasa berucap melancarkan AZAM Online TV yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Datu Aloysius J. Dris di sini, semalam.

Tambah Morshidi, berkongsi maklumat dalam beberapa saat terutamanya dalam media sosial ada kebaikan dan keburukannya.

“Sementara Internet menawarkan kelajuan dalam berkongsi maklumat, kadang-kadang maklumat itu mungkin tidak tepat atau salah tafsiran kerana kurangnya pengetahuan mengenai isu-isu tertentu.

“Sehubungan itu, saya berharap AZAM Online TV akan dapat menyediakan paparan baharu di Sarawak, budaya, rakyat dan usaha pembangunannya ke arah sebuah negeri membangun pada tahun 2030,” ujarnya.

Beliau pada masa yang sama percaya kandungan dalam program berkenaan akan menarik lebih ramai penonton muda, bukan sahaja masyarakat tempatan tetapi juga penonton antarabangsa.

Tambahnya, dengan paparan segar dan baharu tentang Sarawak dan kandungan menarik dalam AZAM Online TV, saluran itu pastinya membuka dimensi baharu kepada AZAM untuk melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dalam program pembangunan negeri ini.

Saluran TV Online melengkapi aktiviti komunikasi AZAM yang sedia ada seperti menerusi radio serta penerbitan akhbar.

AZAM Online TV boleh didapati melalui YouTube, iaitu platform video ‘online’ terbesar yang menyaksikan satu bilion pengguna dari seluruh dunia.

Advertisement