Anda di sini

Luar bandar perlu pembangunan

Advertisement

Oleh Reno Benjamin

 

JULAU: Penduduk luar bandar perlu memilih serta mempunyai wakil rakyat dari kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk kesinambungan pembangunan.

Ini kerana menurut Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum, penduduk luar bandar akan dapat menikmati peruntukan pembangunan yang diberikan oleh wakil rakyat terbabit.

Pada masa sama, katanya, tuai rumah harus mempunyai hubungan rapat dengan wakil rakyat dan agensi-agensi kerajaan agar lebih memahami dasar-dasar serta perancangan kerajaan.

Oleh yang demikian, beliau kecewa kerana ada segelintir tuai rumah yang menyokong calon pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, meskipun ada yang cuba menyembunyi atau menafikan perbuatan mereka itu.

“Mereka yang berkenaan (tuai rumah) mungkin akan menafikan perbuatan itu, namun mereka tidak dapat menipu semua pihak. Tuai rumah yang menyokong kerajaan tidak akan gembira dengan perbuatan mereka itu.

“Oleh itu dalam pemberian geran pembangunan ini, sudah menjadi keutamaan geran akan diberikan kepada penyokong kuat kerajaan,” ujar Salang ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Geran MRP Kawasan P.209 Julau di sini, semalam.

Geran MRP bernilai RM800,000 itu disampaikan kepada 75 tuai rumah dari kawasan Parlimen Julau. Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada RM1.1 juta yang akan diberikan untuk tahun ini.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir Nyelang Gelunggan, Pegawai RELA Daerah Julau Moses Sipan serta wakil Pusat Perkhidmatan BN Julau, Desmond Sunok.

Salang turut menasihati penduduk rumah panjang agar tidak bertengkar mengenai geran yang diberikan untuk membantu penduduk memperbaiki rumah panjang, membina laluan pejalan kaki, jeti dan sebagainya.

“Disebabkan itu, geran ini perlu dimasukkan ke dalam akaun JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) dan bukannya akaun individu. Jika boleh, jangan bahagikan geran ini,” ujarnya yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Yayasan 1Malaysia Zon Sarawak.

Dalam perkara lain, Salang menasihati tuai-tuai rumah yang telah berkhidmat untuk tempoh yang lama serta lanjut usia agar mengundurkan diri bagi memberi peluang kepada yang lebih muda dan mempunyai pendidikan.

Dengan cara itu, katanya, sesebuah rumah panjang itu boleh maju dan penduduknya akan dijaga dengan baik.

Advertisement