Anda di sini

Belum ada bukti 15 rakyat Malaysia terbunuh di Syria

Advertisement

TAIPING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menyiasat dakwaan penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan di Syria, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata dakwaan terdapat beberapa rakyat Malaysia terbunuh di Syria dalam keganasan dan aktiviti jihad dengan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL), kumpulan yang berpecah daripada Al-Qaeda, masih tidak dapat dibuktikan oleh mana-mana pihak.

“Kita masih berhubungan lagi dengan rakan-rakan kita (Interpol) untuk mengetahui perkara sebenar…setakat ini tak dapat dibuktikan oleh mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Beret 69 Komando dan Sayap Kehormat di Markas Latihan Luar, Ladang Allagar, Sungai Nyior di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seramai 15 rakyat Malaysia yang terbabit dalam keganasan dan aktiviti jihad dengan kumpulan militan ISIL telah terbunuh di Syria.

Dakwaan itu dilapor dibuat oleh seorang pegawai Syria yang berpusat di New York pada sidang media 18 Jun yang turut mendakwa selain rakyat Malaysia, rakyat dari negara lain termasuk beberapa negara ASEAN juga terlibat dalam aktiviti seumpama itu di Syria.

Kepada soalan sama ada terdapat pangkalan untuk melatih dan merekrut rakyat Malaysia dalam aktiviti militan, beliau berkata: “Tidak wujud training base di Malaysia sebaliknya terdapat pihak yang merekrut anak-anak muda untuk menyertai aktiviti militan”.

Khalid turut mengingatkan golongan muda agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana pihak yang memujuk mereka menyertai kumpulan tertentu dengan mendakwa mereka akan ke syurga jika menyertai kum-pulan itu.

“Kita bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam dan alim ulama. Kita beri penera-ngan dan penjelasan kepada masyarakat berkenaan apa dia jihad dan bagaimana jihad yang kita perlu buat. Pelbagai langkah yang kita ambil untuk menangani masalah ini,” katanya.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Khalid berkata anggota unit 69 Komando perlu menjalani pelbagai latihan keras yang menguji ketahanan diri sebagai persediaan menghadapi ancaman.

“Pasukan 69 komando yang mencecah usia 45 tahun kini dilihat semakin matang dan berevolusi daripada sebuah pasukan yang memberikan fokus kepada ‘counter insurgency warfare’ ataupun peperangan melawan insurgensi, kepada sebuah pasukan yang serba boleh ataupun multi-skilled,” katanya.

Katanya dengan sejarah perjuangan yang hebat ketika era insurgensi di hutan rimba, kini pasukan 69 komando bergelut pula dengan cabaran dalam penugasan membanteras jenayah, ancaman lanun serta ancaman pihak militan.

Seramai 67 pegawai dan anggota berjaya menamatkan Kursus Asas 69 Komando Siri 1/2011 dan Siri 1/2014 itu. — Bernama

Advertisement