Anda di sini

UNIMAS diyakini mampu lahirkan pelajar inovatif

Advertisement

Pelajar dimaksudkan ialah yang sesuai dengan kehendak industri di negeri ini khasnya dalam SCORE: Abang Johari

Oleh Rusnan Mustafa //

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diyakini dapat melahirkan pelajar inovatif yang sesuai dengan kehendak industri di negeri ini khasnya dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, menerusi pencapaian cemerlang yang diperolehi oleh kakitangan UNIMAS, beliau yakin universiti itu dapat memainkan peranan mereka.

“Saya mengucapkan tahniah kepada kakitangan UNIMAS atas perkembangan UNIMAS setakat ini, saya rasa bahawa UNIMAS telah berjaya untuk menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkemuka di seluruh negara.

“Sudah tentu ia adalah IPT yang terkemuka di Sarawak, saya daripada kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada UNIMAS atas soko-ngan mereka dalam melahirkan cerdik pandai termasuk tenaga kerja yang sangat dikehendaki dalam pembangunan di negeri ini khasnya dalam SCORE,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Gemilang UNIMAS (MAGU) di Dewan DeTar Putra UNIMAS di sini semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berkata, untuk itu UNIMAS perlu bergerak seiring dengan industri yang ada di negeri ini dalam memastikan pelajar yang dilahirkan dapat bergiat aktif dan berinovasi seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri.

“Inilah platform UNIMAS sebagai sebuah IPT autonomi di negeri ini yang turut bersama-sama menyumbang kepada pembangunan industri di sini,” tambahnya.

Justeru, beliau memberitahu bahawa penggunaan ilmu terkini penting dalam memastikan pelajar yang dilahirkan itu mampu bersaing dalam dunia yang serba moden ini.

“Saya yakin UNIMAS dapat melakukan inovasi di kala-ngan pelajarnya kerana kita mahu melahirkan anak yang mempunyai budaya inovasi demi pembangunan negeri dan negara,” ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapannya Abang Johari berkata, dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah untuk memastikan perkhidmatan dan produk kerajaan disampaikan dengan cekap dan berkesan.

“Ia menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menyebar luas, menghayati serta mengamalkan dasar-dasar kerajaan ini dan janganlah saudara-saudari sekalian terikut-ikut dengan mereka yang mempunyai agenda tertentu,” tegasnya.

Tambahnya, ia penting bagi memastikan jentera kerajaan yang merupakan penggerak utama dapat berubah ke arah yang lebih baik sesuai dengan tuntutan semasa perkhidmatan awam dan sektor pengajian tinggi negara.

Hadir sama Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Datu Dr Hatta Solhi, Naib Canselor UNIMAS Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan tetamu kehormat lain.

Advertisement