
Luiz Suarez
Panel disiplin kumpul semua bukti menunjukkan beliau menggigit bahu Chiellini
RIO DE JANEIRO, Brazil: Pegawai bola sepak antarabangsa bermesyuarat Rabu lepas untuk memutuskan sama ada penyerang Uruguay Luis Suarez harus dihukum atau tidak – mungkin dibuang dari kejohanan Piala Dunia – kerana menggigit seorang pemain lawan.
Sebuah panel disiplin mengumpul bukti terhadap Suarez yang mengejutkan dunia bola sepak apabila dia kelihatan menggigit pemain Itali Giorgio Chiellini.
Sementara Suarez, yang pernah dilarang bermain sebanyak dua kali sebelum ini kerana menggigit pemain lawan , menunggu hasil mesyuarat disiplin, Presiden Uruguay Jose Mujica menyeru kepada negaranya untuk menyokong pemain bola sepak tersebut.
“Saya tidak melihat dia menggigit sesiapa,” kata Mujica kepada pemberita. “Namun mereka menendang dan menumbuk satu sama lain dengan begitu kerap sekali dan biasanya mereka akan membiarkannya.”
Ketua Persatuan Bola Sepak Uruguay Wilmar Valdez mengemukakan bukti bagi pihak Suarez kepada sebuah panel FIFA di Rio.
“Kami percaya bukti tidak mencukupi untuk benar-benar menghukum Luis,” kata Valdez kepada televisyen Channel 10 di Uruguay.
“Ia perlu jelas dan dalam video yang diberikan oleh FIFA kepada kami, kami rasa ia sebenarnya tidak jelas,” kata Valdez.
“Kami yakin pembelaan kami akan memperolehi keputusan yang baik,” tambahnya.
Jurucakap FIFA Delia Fischer terdahulu berkata jawatankuasa disiplin mahu mencapai keputusan mengenai kes Suarez “seawal mungkin”.
Uruguay dijadual bertemu dengan Colombia dalam perlawanan peringkat 16 terakhir pada jam 4.00 pagi Ahad 29 Julai (waktu Malaysia).
Fischer enggan membuat spekulasi mengenai sebarang kemungkinan tentang hukuman, tetapi dia berkata kesalahan Suarez pada masa lalu mungkin akan diambil kira.
“Jawatankuasa disiplin dapat mengambil kira semua elemen yang ia anggap perlu,” katanya.
Suarez sudah pun menerima hukuman penggantungan yang lama kerana menggigit pemain lain dalam karier kelabnya selain melemparkan kata-kata berbaur perkauman kepada pemain Manchester United Patrice Evra dalam satu perlawanan pada 2011.
Kejadian terbaru berlaku dekat penghujung perlawanan Kumpulan D pada awal pagi Rabu lepas di Natal.
Ulang tayang menunjukkan Suarez menggigit bahu Chiellini dalam satu insiden jauh dari bola.
Chiellini dengan marah membuat bantahan kepada pengadil dari Mexico, Marco Rodriguez, sambil menarik baju dari bahunya untuk menunjukkan tanda merah pada bahunya.
Selepas itu dia memberitahu televisyen Itali: “Dia menggigit saya, ia adalah jelas, saya masih ada tanda.”
Suarez cuba menepis insiden itu dalam komen kepada televisyen Uruguay, dan mendakwa Chiellini telah merempuhnya.
Bagaimanapun bukti video yang jelas telah mengundang kecaman yang hampir menyeluruh.
Firma perjudian atas talian 888poker berkata ia sedang “menyemak semula” hubungannya dengan pemain itu.
“Kami tidak akan bertoleransi dengan kelakuan yang tidak ada semangat kesukanan,” kata syarikat tersebut.
Ramai di Uruguay percaya Suarez sedang ditindas secara tidak adil.
Satu pengecualian adalah wira negara yang sudah tua, Alcides Ghiggia, yang menjaringkan gol yang memenangi Piala Dunia bagi Uruguay ke atas Brazil dalam kejohanan pada 1950.
“Budak itu jelas tidak betul dalam kepalanya. Itu bukan sesuatu yang kita buat di atas padang,” kata Ghiggia. — AFP