Anda di sini

Pemimpin muda perlu berjuang untuk pendidikan

Advertisement

MELAKA: Pemimpin muda di seluruh dunia perlu  berjuang untuk menyediakan peluang pendidikan kepada semua rakyat di negara mereka khususnya belia, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pemimpin muda perlu melobi kerajaan mereka, menjalinkan kerjasama dengan organisasi dan mewujudkan perkongsian pintar dengan sektor swasta demi untuk merealisasikan impian pendidikan untuk semua.

Khairy menegaskan, pendidikan adalah hak asasi bagi setiap individu terutamanya generasi muda dan tiada siapa mempunyai hak untuk menyekatnya.

“Malangnya, pendidikan telah dinafikan kepada penduduk di beberapa bahagian dunia, jadi ini adalah tanggungjawab kita sebagai pemimpin muda untuk bangkit dan berjuang untuk mengubah senario ini,” katanya ketika berucap menutup Dialog Belia Antarabangsa, Perhimpunan Belia Sedunia (WAY) ke-14 di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Presiden WAY Datuk Seri Idris Haron yang juga Ketua Melaka  Menteri Melaka serta lebih 100 peserta dari negara anggota WAY termasuk Indonesia, Namibia, Ecuador dan Malaysia.

Dialog tiga hari yang bertemakan ‘Youth and Education: Taking Action, Getting Results’, itu, bermula Isnin lepas.

Khairy berkata pendidikan adalah ukuran penting dalam kehidupan, justeru ia amat bermakna kepada setiap orang.

“Tidak kira apa jenis pendidikan anda punyai sama ada agama, vokasional atau konvensional ia akan memberi anda peluang untuk berjaya dalam kehidupan.

“Justeru rakan-rakan muda yang saya kasihi, kita mesti berjuang supaya tidak ada kanak-kanak yang ketinggalan dalam mengejar cita-cita ini,” katanya.

Beliau berkata membina lebih banyak sekolah serta mengisi bilik-bilik darjah bukan satu-satunya kayu pengukur dalam memberi pendidikan kepada rakyat, malah rakyat perlu mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti.

“Apalah gunanya menempatkan beratus-ratus kanak-kanak di dalam bilik darjah  bersama guru yang tidak terlatih atau bilik darjah yang tidak mempunyai alat pengajaran atau tidak mempunyai buku mencukupi, ia tidak akan berjaya.

“Pendidikan berkualiti tinggi adalah sesuatu yang perlu diadakan bagi memastikan nisbah pelajar-guru seimbang, guru-guru terlatih, bilik darjah dalam  keadaan baik dan mempunyai banyak buku untuk kanak-kanak membaca serta menimba ilmu,” katanya. — Bernama

Advertisement