Anda di sini

Ling mahu lahir lebih ramai bakat baharu

Advertisement

 KUCHING: Presiden ba­haru Persatuan Bola Keranjang Sarawak (SBA) Ling Kuok Kai berhasrat untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu mela­lui penganjuran kem latihan intensif di sini.

Bagi merealisasi impian itu, SBA telah bekerjasama dengan syarikat pengeluar barangan sukan Li Ning dengan mengan­jurkan kem latihan selama em­pat hari bertempat di Stadium Latihan Seng Goon Garden, Hui Sing baru-baru ini.

Kem latihan itu telah disertai seramai 27 pemain berusia 16 tahun ke bawah.

Setiap bahagian telah meng­hantar seramai empat wakil berserta jurulatih pada kem yang dikendalikan oleh Greg Noel Gurr dari Australia.

Beliau yang dibantu bekas pemain kebangsaan Tan Kee Hiang mempunyai pengala­man selama 20 tahun dalam bidang kejurulatihan.

Gurr juga merupakan ketua jurulatih skuad Republik Ireland dan penyelia teknikal FIBA dan Persatuan Bola Keranjang Singapura.

“Kem tersebut ditaja sepe­nuhnya oleh SBA dan ia merupakan salah satu aktiviti baharu persatuan dikendalikan oleh jawatankuasa baharu bertujuan menyediakan pel­uang kepada pemain baharu mempelajari kemahiran dan teknik terkini bola keranjang,” menurut Ling.

Ling yang juga Naib Presi­den Persatuan Bola Keranjang Amatur Malaysia menambah, SBA juga akan terus men­ganjurkan kejohanan antara bahagian peringkat umur di sini.

Ling berkata, SBA juga akan bergiat aktif dalam mempro­mosi sukan bola keranjang di Mukah, Betong dan Kapit selain menggalakkan peng­libatan lebih ramai pemain Bumiputera.

Advertisement