Usaha carian akan dimuktamadkan dalam masa setahun
KUALA LUMPUR: Kawasan pencarian baharu bagi pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang telah hilang 111 hari, semalam, akan beralih jauh ke selatan di selatan Lautan Hindi, satu usaha yang akan dimuktamadkan dalam masa setahun.
Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss berkata kawasan carian yang diperhalusi adalah kira-kira 60,000 kilometer persegi di sepanjang apa yang dikenali sebagai kawasan ‘arka ketujuh’ (lokasi terakhir pesawat berkomunikasi dengan satelit), yang dipercayai oleh pakar dan pihak berkuasa sebagai tempat berakhirnya Penerbangan MH370.
Ia adalah kawasan di mana pesawat Boeing 777-200 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 239 orang bersama 12 anak kapal, berkomunikasi kali terakhir dengan satelit Inmarsat sebelum ia hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.
Operasi pencarian itu akan diketuai Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), kata Truss dalam sidang akhbar di Canberra semalam yang disiarkan secara langsung.
Menjelaskan berhubung bagaimana kawasan carian baharu itu diperoleh, beliau menjelaskan para pakar telah menganalisis lebih lanjut data komunikasi satelit – maklumat yang pada mulanya tidak berkemampuan untuk mengesan sebuah pesawat – dan melaksanakan pengiraan yang sangat rumit.
“Kawasan keutamaan baharu masih ditumpukan di arka ketujuh di mana pesawat itu berhubung kali terakhir dengan satelit, namun kami kini mengalih perhatian kami ke sebuah kawasan yang jauh di selatan di sepanjang arka itu berdasarkan kepada pengiraan ini,” katanya.
Truss menjelaskan pada masa ini kajian ‘bathymetric’ atau pemetaan dasar laut di kawasan pencarian baharu dijalankan oleh kapal Zhu Kezhen dari China dan Fugro Equator yang diikat kontrak oleh Australia. — Bernama