Anda di sini

DBP perlu bentangkan laporan audit bahasa setiap tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diminta membentangkan laporan auditnya setiap tahun bagi mengenal pasti pelanggaran dan penyalahgunaan bahasa kebangsaan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata laporan audit secara terperinci juga membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang membuat kesilapan tersebut.

“Bentangkan (laporan audit DBP) bahawa sudah ada penyalahgunaan bahasa di seluruh negara atau di mana-mana kerajaan tempatan, dengan itu kita boleh mengambil tindakan sewajarnya.

“Laporan audit itu (sebelum ini) mungkin hanya untuk jabatan, saya minta laporan audit itu diketengahkan supaya rakyat tahu,” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah yang ingin tahu apakah langkah yang diambil kerajaan bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dipatuhi serta tindakan terhadap agensi kerajaan yang menjenamakan bahasa asing tanpa mengutamakan bahasa kebangsaan. — Bernama

Advertisement