Anda di sini

Benarkan penjaja, peniaga kecil berniaga di tepi jalan: Naroden

Advertisement

 KUCHING:Pihak berkuasa tem­patan (PBT) di seluruh negeri ini diminta memberi kelonggaran berniaga di tepi-tepi jalan kepada penjaja dan peniaga kecil di bawah Skim Pinjaman Mudah Mikro – l Bazar Ramadan 2014.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata pihaknya mensyaratkan agar penjaja dan peniaga terbabit tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Saya akan memanggil setiap PBT bagi bermesyuarat dan meminta jasa baik mereka untuk memberi kelonggaran tersebut, kita beritahu lebih awal supaya mereka (PBT) akan lebih bersedia ketika berlakunya pertemuan nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Skim Pinjaman Mu­dah Mikro – l Bazar Ramadan 2014 di sini semalam.

Sementara itu, dana berjumlah RM45 juta telah diperuntukkan bagi membantu peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara sebagaimana yang dijanjikan Perdana Menteri pada 18 Januari lepas bagi membantu golongan peniaga dan penjaja kecil di se­luruh negara.

Sekarang ini, kita menunaikan janji kerajaan melalui agensi pelaksana Kementerian Perda­gangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah meluluskan pinjaman seramai 1,005 orang yang layak dengan jumlah pinjaman seban­yak RM2,187,500, tambahnya.

“Daripada jumlah itu, pinja­man yang diluluskan adalah sem­inimum RM500 hingga RM3,000 seorang untuk menambah modal perniagaan yang menyediakan jualan juadah makanan dan minu­man untuk Bazar Ramadan yang bermula hujung minggu ini.

“Pecahan kelulusan pinjaman mengikut bahagian adalah seperti berikut: Kuching 560 orang, Miri (111), Limbang (64), Samarahan (62), Sri Aman (62), Sarikei (48), Sibu (43), Bintulu (32) dan Mu­kah (23),,” jelasnya.

Naroden berkata, skim berk­enaan memberi bantuan pinja­man modal jangka pendek tanpa faedah kepada penjaja dan pe­niaga kecil Bumiputera di seluruh negara.

Ia merupakan bantuan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu rakyat terutama para peniaga dan peniaga kecil supaya dapat mempertingkatkan rezeki mereka pada musim Ramadan sebagai menghadapi Hari Raya Aidilfitri.

Pinjaman Mikro Bazar Ra­madan tanpa faedah itu akan dibayar balik sama ada sekali gus atau dua kali dalam tempoh enam bulan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Persatuan Penjaja dan Pe­niaga Kecil Bumiputera Sarawak (PKBS) yang merupakan ahli Gabungan Persatuan-Persat­uan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaras skim berk­enaan.

Bank Rakyat pula selaku agensi di bawah KPDNKK menyalur­kan kemudahan ini untuk diagi­hkan kepada pemohon yang telah diluluskan.

Bagaimanapun, disyaratkan bahawa semua pemohon perlu menjadi ahli Persatuan Penjaja dan PKBS untuk layak memohon dan mempunyai akaun di Bank Rakyat.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati para peminjam agar membayar semula pinjaman yang telah diberikan kerajaan dan tidak melarikan diri daripada hutang.

Advertisement