Anda di sini

Balai Polis Selangau antara yang tercanggih di negeri ini

Advertisement

SIDANG MEDIA: Sabtu (tengah) bersama pegawai polis yang lain pada sidang media di Selangau, semalam.

 SELANGAU: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman menyifatkan Balai Polis Se­langau yang baharu sebagai antara balai polis tercanggih di negeri ini.

Sabtu berkata, setakat ini beliau telah melihat lebih kurang 22 balai polis dan Balai Polis Selangau adalah antara balai polis tercanggih kerana dengan infrastruktur bangunannya yang moden dan terletak di lokasi yang sesuai.

“Setelah saya melihat be­berapa kawasan-kawasan yang lain atau balai polis di daerah lain, saya percaya ini adalah antara balai polis tercanggih di sini kerana saya telah melihat lebih kurang 22 kawasan.

“Oleh itu, bagi saya ini adalah yang terbaik setakat ini yang saya lihat kerana dengan infrastrukturnya yang moden dan kedudukannya yang strategik atau lokasinya yang sangat sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Se­langau di sini semalam.

Difahamkan balai polis tersebut mula dibina pada 21 Januari 2007 dengan keluasan tapak 5.3 hektar.

Syarikat yang bertanggung­jawab dalam pembinaan balai tersebut ialah BLT Sdn Bhd dengan kos projek berjumlah RM20.6 juta.

Selain itu, kekuatan yang ada di Balai Polis Selangau ialah dengan kekuatan se­orang berpangkat sarjan dan 10 anggota.

Pada sidang media tersebut Ahli Dewan Undangan Neg­eri (ADUN) Tamin Joseph Mauh Ikeh memohon kepada pihak polis agar mendiri­kan sebuah pondok polis di kawasan antara Tatau dan Selangau.

“Hal ini kerana jarak antara kawasan tersebut adalah ter­lalu jauh dan sangat memerlu­kan sebuah pondok polis.

“Selain itu, sekiranya ber­laku sebarang perkara yang tidak diingini terutama ke­malangan jalan raya ia akan banyak membantu dari segi jarak perjalanan,” katanya.

Turut hadir Datin Wira Wan Safiah Wan Salim, Pemangku Timbalan Pesu­ruhjaya Polis Sarawak Datuk Dr Chai Khin Chung dan Ketua Polis Daerah (KPD) Mukah DSP Omar Bakhtiar Yacoob.

Advertisement