Anda di sini

Tiga menteri, tiga timbalan menteri baharu

Advertisement

Najib memperkukuh Kabinet dengan konsep perkongsian kuasa melibatkan semua kaum

PENAMBAHAN KABINET: Najib bersama Muhyiddin kelihatan gembira dengan penyertaan kembali wakil MCA dan GERAKAN dalam Kabinet ketika mengumumkan penambahan kabinet di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak semalam  mengumumkan pelantikan tiga menteri penuh dan tiga timbalan menteri baharu  daripada pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) MCA dan GERAKAN, dalam barisan Kabinetnya.

Ketika membuat pengumuman itu pada sidang media di Bangunan Perdana Putra di sini semalam, perdana menteri menamakan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden GERAKAN Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Turut dinamakan ialah tiga naib presiden MCA Datuk Lee Chee Leong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong  sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai TImbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dengan pelantikan Liow sebagai menteri pengangkutan, Najib mengesahkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak lagi memangku jawatan itu.

“Saya gembira wakil MCA kembali dalam Kabinet begitu juga GERAKAN,” kata Najib.

MCA sebelum ini memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan peringkat pusat dan negeri susulan prestasi kurang memberangsangkan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun, namun memutuskan untuk kembali menyertai kabinet dan menduduki jawatan dalam kerajaan setelah mendapat sokongan majoriti dalam mesyuarat agung luar biasa parti itu pada Februari lepas.

Sebelum ini, Najib dilapor berkata akan melantik Mah sebagai menteri jika menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei lalu. Mah menang dengan majoriti 238 undi ke atas calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

Najib berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah memperkenan untuk majlis angkat sumpah dan simpan rahsia anggota Kabinet baharu itu pada Jumaat ini di Istana Negara.

Najib berkata kemasukan wakil MCA dalam barisan Kabinet mengukuhkan konsep perkongsian kuasa dalam pentadbiran negara yang melibatkan semua kaum di negara ini.

“Pengumuman (anggota) Kabinet baharu berkait rapat dengan hasrat kerajaan membentuk pasukan jitu, memimpin rakyat daripada pelbagai kaum,” katanya.

Beliau menyedari saiz Kabinet yang semakin membesar namun menegaskan ia tidak dapat dielakkan serta menyifatkan pertambahan anggota Kabinet itu sebagai “luar jangkaan”.

“Setakat ini tiada sesiapa yang sukarela keluar Kabinet…hanya bergurau,” katanya.

Najib yakin barisan Kabinet itu dapat menterjemah Aku Janji kepada rakyat seperti yang dilafazkan pada pilihan raya umum lepas agar terus membawa kemajuan lebih besar kepada negara.

Perdana menteri akan turut berbincang dengan menteri dan timbalan menteri baharu mengenai pengagihan dan bidang kuasa serta tanggungjawab masing-masing.

Najib berharap semua menteri dan timbalan menteri baharu ini akan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik serta melaksanakan dasar kerajaan.

“Harus diingat bahawa beberapa tanggungjawab tertentu hendaklah digalas seperti memastikan janji kita kepada rakyat dilunas dan dilaksanakan, supaya kita terus memegang kepercayaan rakyat,” katanya.

Najib menolak dakwaan bahawa beliau tertekan untuk mengumumkan pelantikan baharu itu, sambil menjelaskan bahawa beliau memerlukan masa yang sesuai untuk mengumumkan penambahan anggota Kabinet berkenaan.

Beliau berkata pengumuman itu tidak dapat dilakukan lebih awal berikutan kejadian seperti kehilangan pesawat MH370 dan penglibatan beliau dalam beberapa program negara.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa. — Bernama

Advertisement