
MOHON BERTENANG: Anggota bomba menenangkan mangsa yang terjun dari bangunan hotel bajet selepas mendakwa melarikan diri daripada dibunuh, semalam.
BINTULU: Seorang lelaki yang mendakwa ada seseorang ingin membunuhnya nekad terjun dari tingkat satu sebuah hotel bajet di pusat bandar di sini bagi menyelamatkan diri, semalam.
Penyelia pasukan merangkap Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu, Simon Dida berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.27 pagi.
“Sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera bomba bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa sudah terjun dari tingkat satu hotel bajet itu.
Mujur mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya semasa dihubungi semalam.
Simon berkata, tindakan mangsa bukan membunuh diri, tetapi mendakwa bahawa dia berbuat demikian untuk melarikan diri daripada dibunuh orang.
“Justeru, kami meminta mangsa bertenang dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.