Anda di sini

Tanah dibeli untuk rumah panjang harus disukat, perjanjian jual beli

Advertisement

SRI AMAN: Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang berkata tanah yang dibeli untuk mendirikan rumah panjang harus disukat terlebih dahulu diikuti perjanjian jual beli antara pemilik tanah dan penduduk rumah panjang terbabit.

Katanya ini penting bagi mengelak berlakunya perebutan hak milik tanah di kalangan generasi baharu penduduk rumah panjang itu dan cucu cicit pemilik tanah asalnya pada masa akan datang.

“Dokumen perjanjian itu perlu bagi membuktikan tanah tersebut sememangnya dijual secara sah oleh pemilik asalnya kepada komuniti penduduk yang membina rumah panjang di tanah kawasan itu.

“Dengan adanya dokumen itu, keturunan pemilik tanah berkenaan tidak dapat menuntut kembali hak milik tanahnya daripada penduduk rumah panjang terbabit suatu hari nanti,” katanya pada Majlis Ngiling Bidai di Rumah Engkeranji, Hulu Lingga di sini kelmarin.

Mong turut menyerahkan peruntukan RM50,000 kepada Rumah Banting bagi membina jeti, RM15,000 kepada SK St Paul Banting, RM5,000 kepada Gereja St Peter, Engkeraji dan RM4,000 kepada Biro Wanita Rumah Juan Engkeranji.

Menurutnya, kegagalan mewujudkan dokumen perjanjian boleh menyebabkan golongan generasi baharu penduduk rumah panjang di situ diusir oleh keturunan pemilik tanah asalnya kerana ketiadaan bukti.

Sementara itu, Mong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa kerajaan merampas tanah NCR milik rakyat.

“Kerajaan akan memberi notis terlebih dahulu jika mereka mahu melaksanakan projek pembangunan di atas tanah NCR milik rakyat dan jika ada persetujuan antara kedua-dua pihak maka baharulah tanah tersebut dimajukan,” katanya.

Turut hadir Pembantu Khasnya Howard Tambun, wakil Ahli Parlimen Sri Aman Edmund Pirang, Pembantu Luar Kanan JASA DUN Bukit Begunan Jessy Bintoh, Penghulu Belie Belasan, Kaunselor Mounsey Luku dan Kaunselor Milu Gue.

Advertisement